Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Teks penuh doa PAS Selangor hancurkan 'pakatan jahat'
Diterbitkan:  Mar 18, 2018 1:54 PM
Dikemaskini: 6:50 AM

Merujuk berita yang disiarkan Malaysiakini semalam, timbul pertikaian di kalangan sejumlah pihak yang mengatakan 'pakatan' yang dibaca Anggota Jawatankuasa PAS Selangor Ahmad Dusuki Abd Rani dalam doanya semalam bukan merujuk kepada Pakatan Harapan secara khusus, tetapi petikan daripada doa qunut Nazilah.

Namun pada awal doa, sebelum beliau membacakan petikan doa qunut Nazilah itu, Ahmad Dusuki mendoakan agar "pakatan yang jahat" tidak mempunyai kekuatan sebagaimana Tuhan "meleburkan tentera-tentera ahzab".

Sebelum itu, turut disebut tentang balasan terhadap "golongan yang melarikan kerusi" PAS dan Selangor yang "dijajah dengan suasana yang tidak (bukan) cara agama".

Berikut adalah teks penuh doa Ahmad Dusuki yang dibaca selepas sembahyang hajat semalam, untuk penilaian pembaca.

Teks ini disalin secara penuh dan suntingan hanya dibuat secara minimum bagi memperbetul ejaan dan struktur ayat untuk memudahkan pembaca.

 

"Di malam yang baik ini, Ya Allah, kami berkumpul di padang ini mengharapkan kejayaan kepada Parti Islam Se-Malaysia, PAS, khususnya di bumi Selangor ini dalam pilihan raya yang akan kami lalui.

Kami memohon, mengadu kepada-Mu Ya Allah betapa lama bumi Selangor ini dijajah dengan suasana yang tidak (dengan) cara agama.

Kami memohon kepada-Mu Ya Allah agar diberi peluang kepada Parti Islam Se-Malaysia, PAS, untuk memerintah bumi Selangor ini.

Berilah peluang untuk melihat keadilan Islam, berilah peluang untuk melihat betapa indah agama-Mu ini di bumi bertuah ini.

Ya Allah ya Tuhan kami, kami memohon kepada-Mu betapa ada di kalangan ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) kami disekat perbelanjaan, peruntukan untuk mereka.

Pada-Mu kami pohon untuk membuka hati-hati mereka itu. Ataupun selayaknya Kamulah yang membalas kepada mereka itu Ya Allah.

Kami pohon untuk mengadu pada kamu Ya Allah, betapa jemaah ini dikhianati oleh mereka-mereka yang melarikan kerusi kami.

Kami pohon Ya Allah betapa mereka ini selayaknya Kamu membalasnya. Kamulah yang sebaik-baiknya yang membalas.

Tidakkah Kamu menyebut doa mereka yang dizalimi itu tidak akan ditolak oleh-Mu. Kami pohon kepada-Mu segala pakatan yang mereka rancang itu dihancurkan (dan) lebur mereka Ya Allah.

Ya Allah jadikanlah pakatan yang jahat itu, pakatan yang tidak mempunyai kekuatan Ya Allah, sebagaimana Kamu telah meleburkan tentera-tentera ahzab itu Ya Allah.

Demikianlah kami akan hadapi nanti Ya Allah. Demikian juga kami akan berhadapan dengan Barisan Nasional dalam pilihan raya yang akan datang.

'Kami pembawa ajaran-Mu'

Kami pohon pada-Mu ya agar dibuka hati setiap pengundi-pengundi di kalangan kami ini agar melihat bagaimana kezaliman yang dilakukan BN sebelum ini terhadap rakyat bumi Selangor dan bumi Malaysia ini.

Kami pohon pada-Mu Ya allah agar dibuka hati sesama kami ini agar dirapatkan ikatan ukhuwah kami ini.

Jauhkanlah di kalangan kami berpecah sesama kami (dah) bahkan jadikanlah kami kesatuan di kalangan kami.

Berikanlah kemenangan Islam di bumi Malaysia ini Ya Allah sehingga kami lihat keindahan agama-Mu, sebagaimana kami ingin melihat al-Quran yang indah itu dalam setiap sanubari umat manusia.

Hanya kami membawa ajaran-Mu ini Ya Allah. Jika kamu rebahkan kami, siapa lagi yang mampu untuk membawa agama-Mu ini.

Hanya kami daripada Parti Islam Se-Malaysia, PAS, membawa ajaran agama-Mu.

Dalam keadaan jerih, ada di kalangan kami telah gugur di jalan-Mu. Ada di kalangan kami yangg sedang menunggu-nunggu untuk gugur. Ada di antara kami mengorbankan harta benda mereka. Ada di kalangan kami yang bangun dan sujud pada-Mu Ya Allah.

Guru-guru kami, mereka yang telah berjuang di jalan-Mu sehingga menghadap-Mu membawa perjuangan ini Ya Allah. Jadikanlah saat kami menadah tangan pada-Mu ini, kuburan mereka di antara taman-taman syurga.

Jangan jadikan kubur mereka antara kawah-kawah neraka. Jadikanlah tangan yang memangkah Parti Islam Se-Malaysia, PAS, kubur mereka menjadi damai dan tenang.

Di atas kesaksian mereka itu, jadikanlah tangan tangan-mereka itu sebagai saksi di hadapan-Mu nanti Ya Allah.

Doa pada pengundi

Kami pohon kepada-Mu agar amalan yang baik ini dalam lima tahun sekali, yang mereka pangkah nanti akan bertanggungjawab di hadapan-Mu nanti, hanya melihat Islam sebagai cara hidup di kalangan mereka.

Berilah peluang pada kami (untuk) membuktikan indahnya agama-Mu ini khususnya di bumi Selangor.

Kuatkan barisan kepimpinan kami Ya Allah. Jangan ada di kalangan kami yang cuba menikam belakang kami pula.

Sebagaimana tusukan yang pernah ditusuk oleh sahabat-sahabat kami yang mengkhianati baiah itu.

Kamulah sebaik-baik (yang) membalas ya allah kerana Kamu Maha Mendengar setiap doa-doa.

Ya Allah jadikanlah setiap rezeki yang mereka dapat itu, bahan bakar pula bagi mereka nanti, menjadi keseksaan kepada mereka nanti.

Jadikanlah setiap apa yang kami kerjakan ini amalan soleh untuk kami. Untuk kami tunjuk di hadapan-Mu nanti betapa kami lakukan (dengan) penuh keikhlasan dan penuh ketabahan.

Kami pohon kepada-Mu agar jangan membolak-balikkan hati kami ini, membolak-balikkan hati pengundi-pengundi sehingga mereka nampak hanya bulan untuk mereka sokong.

Jadikanlah setiap di kalangan umat bumi Selangor ini yang beriman kepada-Mu, berikan kelapangan dalam hati mereka untuk bersama Islam.

Berilah peluang Islam bercahaya di bumi ini Ya Allah. Jika tiada lagi pertolongan dari-Mu, siapa lagi yang mampu untuk memberi pertolongan untuk kami.

Jika tiada pertolongan dari-Mu, kepada siapa lagi kami mampu untuk mengadu.

'Hancurkan tentera Ahzab'

Izinkan bibir kami menyebut Lailahaillallah Muhammadurrasulullah di saat penghujung kehidupan kami. Kamulah yang memberi kekuatan pada kami pada saat itu.

Jadikanlah kelapangan di saat kami menghadap-Mu nanti. Jadikanlah kubur kami bercahaya dengan cahaya yang indah, jauhkan kubur kami (daripada menjadi) kawah-kawah neraka.

Ya Allah ya Tuhan kami, kami pohon untuk bangkit di akhirat bersama panji-panji Islam ini, bersama nabi-nabi-Mu, bersama nabi kami Muhammad SAW.

(Dan) berjalan beriringan ke syurga-Mu nanti. (Kami) mengharapkan syurga Firdaus daripada kerja-kerja kami ini.

Jadikanlah setiap daripada mereka yang bersama Parti Islam Se-Malaysia, PAS, ini semuanya dalam syurga. Jauhkanlah ahli-ahli PAS ini daripada terhumban ke nerakamu pula.

Ya Allah ya Tuhan kami, jadikanlah setiap usaha kami yang datang (dari) jauh (dan) berkumpul di padang yang luas ini, (sebagai) keluasan rahmat-Mu untuk kami.

Hancurkanlah tentera-tentera ahzab itu Ya Allah, hancurkanlah pakatan ahzab itu Ya Allah, hancurkanlah kekuatan mereka Ya Allah.

Jadikanlah perpecahan di kalangan mereka dan jadikanlah kekuatan kami pula dan tegakkan islam di muka bumi ini.

Inilah janji kami, inilah permohonan kami. Berilah pertolongan sebagaimana kamu telah memberi pertolongan kepada nabi kami dalam perang Ahzab Ya Allah."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS