Polis Miri kini memburu 65,000 pesalah trafik yang masih gagal menjelaskan bayaran saman menerusi Operasi Saman Tertunggak Warga Asing (OSTWA) di bangunan tol Sungai Tujuh berhampiran sempadan di Miri.
Ketua Polis Miri ACP Lim Meng Seah berkata, operasi yang dijalankan tidak jauh dari sempadan Sarawak dan Brunei itu telah bermula semalam sehingga esok bertujuan mengutip saman tertunggak agar pesalah trafik dapat menjelaskan saman dengan kadar segera.
“Semua saman yang telah dijelaskan mesti disertakan dengan resit rasmi dari kaunter bayaran polis trafik sebelum meninggalkan kaunter bayaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lim menafikan dakwaan palsu yang tular di media sosial menuduh polis trafik di Miri telah menyalahgunakan kuasa dalam isu berkaitan pengeluaran dan kutipan saman.
“Operasi ini bertujuan memberi kesedaran kepada pesalah trafik agar lebih prihatin dan bertanggungjawab menjelaskan saman trafik mereka,” katanya lagi.
- Bernama