Hanya beberapa hari selepas menjadikan kisah rampasan Equanimity sebagai laporan utamanya, majalah berita mingguan berpengaruh dari Indonesia, Tempo, menjadi sasaran serangan siber.
Kononnya ada kaitan dengan tokoh utama Pakatan Harapan, tidak dapat dipastikan siapakah dalang di sebalik penyebaran imej berkenaan.
Namun bagi pihak Tempo, serangan ke atas organisasi serta watak yang mempunyai kaitan dengan majalah itu dianggap satu tindakan daripada orang yang "malas berfikir".
Ketua Pengarang Tempo, Arif Zulkifli, berkata taktik ad hominem atau serangan peribadi sebegitu merupakan cara paling mudah untuk cuba menjejaskan sesebuah organisasi media kerana pelakunya tidak perlu membaca laporan yang diterbitkan bagi menyangkal menggunakan hujah.
"Ad hominem adalah cara paling mudah (untuk menyerang) tetapi juga paling mudah ditangkis," kata Arif kepada Malaysiakini ketika diminta mengulas tentang serangan ke atas Tempo susulan laporan muka depan mereka pada minggu ini.
Kapal persiaran mewah Equanimity yang dikaitkan dengan hartawan muda kelahiran Pulau Pinang, Jho Low, itu ditahan pihak berkuasa Indonesia serta ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di Teluk Benoa, Bali pada 28 Feb lalu.
Ia disita kerana mempunyai kaitan dengan siasatan dijalankan FBI mengenai pelbagai aset yang didakwa AS diperolehi menggunakan dana 1MDB.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari memberikan amaran kepada pihak-pihak tertentu - termasuk media asing - yang didakwa menyebarkan berita palsu mengaitkan skandal 1MDB.
Goenawan, Anwar memang kawan
1MDB dan kerajaan pula secara konsisten menegaskan Equanimity tidak ada kaitan dengan negara ini.
Muka hadapan Tempo edisi 12 Mac-18 Mac itu memaparkan ilustrasi kapal mewah Equanimity dengan karikatur seorang lelaki gempal seperti Jho Low - atau nama sebenarnya Low Taek Jho.
Kata Arif pihaknya tidak tahu siapa yang melakukan serangan itu dan ia boleh dilakukan sesiapa saja.
Pada masa sama menurut Arif dia tidak peduli siapa yang melakukannya.
"Tetapi siapa yang melakukan itu telah melakukan ad hominem, dan ia juga sesuatu yang melucukan," katanya.
Baca Peguam Najib: Tiada arahan saman media asing
Mengulas lanjut, Arif berkata ia bukan kali pertama majalah itu berhadapan serangan fitnah sebegitu malah mereka sudah lali dikecam sepanjang menerbitkan pelbagai jenis laporan.
Sebelumnya, Arif melalui satu ciapan di Twitter telah memuat naik imej yang menggabungkan muka depan Tempo tentang 1MDB dengan gambar-gambar pengasas majalah itu, Goenawan Mohamad bersama pemimpin pembangkang Malaysia termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan tertinggi DAP.
Beliau mengakui tidak tahu sumber sebenar gambar tersebut yang turut melabelkan muka depan Tempo sebagai "palsu" serta dikaitkan dengan dakwaan pimpinan tertinggi majalah tersebut didalangi oleh pembangkang di Malaysia
"Goenawan Mohamad merupakan kawan baik Anwar yang memiliki majalahnya sendiri. Majalah itu sering mempromosi imej positif Anwar di Indonesia," kata keterangan gambar yang mengiringi imej berkenaan.