Tan Sri Rais Yatim hanya akan meletakan jawatannya sebagai penasihat sosiobudaya kerajaan jika diminta berbuat demikian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bukannya asakan demi asakan oleh tali barut.
“Pegawai JASA (Jabatan Hal Ehwal Khas) Tun Faisal (Ismail Aziz) gesa saya letak jawatan sebagai penasihat kerajaan.
“Saya cuma cadang Jho Low disiasat. Macam nak runtuh langit. Kalau PM isyaratkan baru saya bersara.
“Tapi sabarlah Tun F saya dah berhubung dengan PM. Biarlah beliau yang putuskan. Ini tak boleh diputuskan oleh tali barut,” ciapnya di Twitter hari ini.
Semalam, Panel Pemikir JASA - badan propaganda kerajaan yang terletak di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia - Tun Faisal secara terbuka membuat gesaan supaya bekas menteri itu berundur jika tidak boleh bertindak sebagai menteri dan menggunakan saluran yang betul.
Ia berhubung ciapan Rais yang mempersoalkan mengapa sesetengah pemimpin Umno begitu sayang kepada pengusaha kontroversial Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low dalam isu skandal 1MDB.
Rais juga terlibat dalam pertikaian dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz yang dilihatnya pantas membela Jho Low.
Rabu lalu, Nazri mendakwa dendam Rais dan seorang lagi bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz terbawa-bawa terhadap pentadbiran semasa yang diketuai oleh Najib selepas mereka digugurkan daripada kabinet.
Katanya, bukan mudah untuk menerima hakikat digugurkan daripada menjadi calon pilihan raya, lebih-lebih lagi jika seseorang itu pernah jadi menteri lebih 10 tahun dan tiba-tiba digugurkan.
Justeru, menurut Nazri, jelaslah mereka memendam dendam terhadap kepimpinan kerajaan hari ini dan “biarlah dia meroyan”.
Rais semalam juga mengingatkan bahawa kedudukannya senagai penasihat sosiobudaya kerajaan adalah setaraf seorang menteri.
Skandal 1MDB sedang disiasat oleh pelbagai bidang kuasa di beberapa negara dan digambarkan sebagai kes kleptokrasi terburuk yang pernah dilihat oleh dunia.
Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat percaya sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion dana berkaitan 1MDB telah diselewengkan dan digubah secara haram melalui sistem kewangan di Amerika Syarikat dan beberapa negara lain.
DOJ sedang berusaha untuk merampas aset AS$1.7 bilion yang didakwa diperoleh menggunakan wang yang dicuri itu.
1MDB telah menafikan bahawa wangnya telah diselewengkan.