Seorang ahli parlimen PKR hari ini menempelak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menuntut tiga wakil rakyat DAP memohon maaf kepadanya atau berdepan tindakan.
Merujuk surat Pandikar yang ditujukan kepada tiga wakil rakyat berkenaan, ahli parlimen Padang Serai, N Surendran berkata, notis speaker itu bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
"Justeru (ia) tidak sah dan menyalahi undang-undang. Kenyataan tiga ahli parlimen itu adalah tertakluk kepada hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perkara 10," kata Surendran yang juga seorang peguam dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, Perkara 10 menjamin hak kebebasan bersuara untuk setiap warganegara, dan melalui Perkara 10 (2) (a) yang menyatakan bahawa Parlimen boleh mengenakan sekatan ke atas kebebasan bersuara "dengan tujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen".
"Parlimen telah mengenakan sekatan ini melalui Ordinan Dewan Rakyat (Keistimewaan dan Kuasa). Seksyen 9 akta tersebut menyenaraikan 14 jenis tuduhan penghinaan yang berasingan.
"Bagaimanapun, menghina atau mengkritik speaker tidak termasuk dalam Seksyen 9."
Pandikar (foto, bawah) semalam mengancam mengambil tindakan terhadap tiga wakil rakyat DAP - Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar, Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Khoo Ham dan Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming - selepas ketiga-tiga mereka berkata speaker tidak sepatutnya menjadi "sekutu untuk menutup skandal rasuah".
Kenyataan mereka juga mendakwa bahawa “sebagai speaker, Pandikar gagal menegakkan kebenaran, justeru, perkara paling mulia untuk dilakukannya adalah meletakkan jawatan."
Ketiga-tiga ahli parlimen DAP itu pada sidang media hari ini berkata, mereka tidak bercadang mengemukakan permohonan maaf kepada Pandikar dan masih menunggu beliau untuk menjawab soalan mengenai 1MDB yang mereka kemukakan terlebih dulu.