Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bas amfibia RM3j alami 'kerosakan kecil' lepas dipandu MB
Diterbitkan:  Mar 15, 2018 12:20 PM
Dikemaskini: 5:11 AM

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menafikan dakwaan mengenai bas amfibia atau amphicoach bernilai RM3 juta rosak selepas video yang memaparkan bas itu sedang dipandu uji di Losong, dekat Kuala Terengganu, tular di media sosial kelmarin.

Beliau sebaliknya berkata bas itu mengalami 'kerosakan kecil' selepas beliau memandu uji sendiri bas berkenaan selama lebih 20 minit di Sungai Terengganu, pada Isnin.

"Saya sendiri yang minta dibuat simulasi untuk menguji bas itu jika berada dalam keadaan kritikal... dan semasa saya bawa bas itu hos penghembus pancutan airnya tercabut...saya juga minta hos itu tidak dipasang semula dan dalam 10 minit dalam keadaan kritikal itu pasukan penyelamat berjaya mengawal keadaan.

"Mungkin ia terjadi sebab saya tiada pengalaman bawa bas sebelum ini jadi kita kena pastikan bas ini dipandu oleh orang yang betul-betul mahir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (Mou) di antara Epic Berhad, CMC Engineering Sdn Bhd dan T7 Global Berhad bagi kerjasama dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu semalam.

Mengulas lanjut Ahmad Razif berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Taman Laut akan melakukan beberapa ujian dalam tempoh setahun ini bagi memastikan bas itu selamat digunakan dan diberikan lesen untuk beroperasi.

"Bas ini satu-satunya yang ada di Malaysia dan Asia Tenggara.,.sebab itu saya nak betul-betul puas hati supaya dalam masa tempoh percubaan ini kalau ada apa-apa berlaku kita boleh minta syarikat yang membuat bas ini mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya.

Mengulas pandangan sinis sesetengah pihak terhadap aspek keselamatan bas itu, Ahmad Razif berkata rakyat Terengganu kini boleh membuat penilaian kerana bas berkenaan bakal memberi manfaat yang besar kepada penduduk negeri khusus dalam sektor pelancongan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS