Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Rais ingatkan Nazri, bila pelepah gugur pucuk jangan ketawa
Diterbitkan:  Mar 15, 2018 11:54 AM
Dikemaskini: Mar 16, 2018 10:35 AM

Penasihat sosiobudaya kepada kerajaan, Tan Sri Rais Yatim mempersoalkan mengapa sesetengah pemimpin Umno begitu sayang kepada pengusaha kontroversial Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Bekas menteri kabinet itu mengulas kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz yang membidasnya selepas beliau menimbulkan kebimbangan terhadap Low dan 1MDB.

“Itulah... bila ditegur menteri hebat macm Nazri kata orang meroyan.

“Dunia dah cukup perli Malaysia melalui Jho Low. Kenapa sayang sangat pada pemutar alam Jho Low? Berbillion ringgit wang negara lesap,” ciapnya di Twitter.

Semalam, Nazri mendakwa dendam Rais dan Tan Sri Rafidah Aziz terbawa-bawa terhadap pentadbiran semasa yang diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, bukan mudah untuk menerima hakikat digugurkan daripada menjadi calon pilihan raya, lebih-lebih lagi jika seseorang itu pernah jadi menteri lebih 10 tahun dan tiba-tiba digugurkan.

Justeru, menurut Nazri, jelaslah mereka memendam dendam terhadap kepimpinan kerajaan hari ini dan “biarlah dia meroyan”.

Mengulas lanjut, Rais mengingatkan bahawa kedudukannya senagai penasihat sosiobudaya kerajaan adalah setaraf seorang menteri.

“Saya masih menteri, lupa kot? Siapa meroyan?” kata Rais sambil memberi amaran “ingat bila pelepah gugur pucuk jangan ketawa.”

Skandal 1MDB sedang disiasat oleh pelbagai bidang kuasa di beberapa negara dan digambarkan sebagai kes kleptokrasi terburuk yang pernah dilihat oleh dunia.

Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat percaya sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion dana berkaitan 1MDB telah diselewengkan dan digubah secara haram melalui sistem kewangan di Amerika Syarikat dan beberapa negara lain.

DOJ sedang berusaha untuk merampas aset AS$1.7 bilion yang didakwa diperoleh menggunakan wang yang dicuri itu.

1MDB telah menafikan bahawa wangnya telah diselewengkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS