Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz percaya dendam bekas menteri kabinet Tan Sri Rais Yatim dan Tan Sri Rafidah Aziz terbawa-bawa terhadap pentadbiran semasa yang diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Kedua-dua bekas pemimpin kanan Umno itu dikatakan semakin lantang terhadap Umno dan kerajaan susulan rampasan kapal pesiaran Equanimity oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat dan pihak berkuasa Indonesia, baru-baru ini.
“Pilihan raya semakin hampr, jelas ini semua orang yang kecewa.
“Bukan mudah (untuk menerima hakikat) digugurkan, jika kamu pernah jadi menteri lebih 10 tahun dan tiba-tiba digugurkan, kamu punya dendam itu terbawa-bawa sampai walaupun kamu sudah digugurkan pada pilihan raya lalu.
“Jadi jelaslah mereka memendam dendam terhadap kepimpinan kerajaan hari ini. Jadi, biarlah dia meroyan,” kata Nazri kepada wartawan di Kuala Lumpur hari ini.
Rais, awal bulan ini, menegur Menteri Multimedia dan Komunikasi Datuk Seri Salleh Said Keruak yang berkata tiada bukti yang menunjukkan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low adalah pemilik Equanimity.
Sebelum pilihan raya umum lalu, Rais adalah menteri komunikasi dan kebudayaan tetapi digugurkan sebagai calon pada pilihan raya umum 2013.
Beliau kini berkhidmat sebagai penasihat sosiobudaya kepada kerajaan dan mempunyai status yang sama sebagai seorang menteri.
Rafidah pula adalah menteri perdagangan antarabangsa dan industri dari tahun 1987 hingga 2008. Beliau digugurkan dari kabinet selepas pilihan raya 2008.
Beliau juga membidas pihak berkuasa Malaysia kerana sebelum ini gagal mencari kapal Equanimity sedangkan, katanya, beliau sendiri pernah mengesan kapal itu ketika bercuti di Thailand pada tahun lalu.