Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memecah tradisi pada satu majlis yang dianjurkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini apabila beliau sendiri mengajukan soalan kepada tetamu yang hadir.
Pada Majlis Makan Tengah Hari Timbalan Perdana Menteri bersama Ketua-Ketua Pengarang dan Pemegang Permit Penerbitan, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengajukan kira-kira 10 soalan yang secara umumnya menyentuh mengenai isu yang dihadapi industri media.
“Majlis seperti ini adalah kali pertama diadakan, biasanya saya yang menjawab soalan daripada media secara formal, hari ini saya pula ingin bertanya kepada pihak media,” katanya pada majlis dihadiri kira-kira 500 pengurusan kanan dan pemimpin organisasi media serta pemegang permit penerbitan.
Sebagai respons, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif The Star Datuk Seri Wong Chun Wai menimbulkan hakikat bahawa kelangsungan (survival) media cetak adalah lebih mencabar hari ini berbanding dengan pengawalan kendiri (self-regulation).
"Pagi ini kita telah mendengar tentang pengawalan kendiri dan (keperluan mengadakan) ombudsman, tetapi secara serius, pada ketika ini, industri media adalah begitu sukar dan kita bercakap tentang kelangsungan.
"Apa gunanya ombudsman dan majlis media jika kita tidak tahu berapa banyak syarikat yang akan bertahan?
"Saya akan (bercakap dengan) jujur. Selepas PRU14, saya jangkakan beberapa (syarikat) surat khabar akan ditutup," kata Wong, sambil menambah bahawa halangan utama media cetak adalah garis panduan pengiklanan yang terlalu ketat yang dikuatkuasakan tetapi tidak kepada stesen penyiaran atau media dalam talian.
Wong berkata margin keuntungan adalah begitu kecil dalam perniagaan media dalam talian, memetik contoh bagaimana 80 peratus keuntungan yang dijana oleh portal berita TheStarOnline dibayar kepada Google dan Facebook.
Beliau seterusnya mencadangkan agar kerajaan mengenakan cukai ke atas kedua-duanya dan Ahmad Zahid berkata, beliau akan membawa cadangan tersebut ke mesyuarat Kabinet.
Timbalan perdana menteri itu berkata kerajaan juga sedar kebanyakan syarikat media tradisional baik media elektronik dan cetak hari ini menghadapi cabaran dari segi pendapatan yang kian berkurangan kerana majoriti kini lebih memilih media bukan tradisional.
Sehubungan itu, menurut beliau kerajaan akan menyemak semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 agar ia bersesuaian dengan keadaan semasa.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedaya upaya mahu beri kebebasan semua penulisan, penerbitan dan penyiaran yang tidak terlalu terkongkong dengan garis panduan.
“Ia mungkin sesuai pada masa dulu tapi hari ini ianya perlu dimodifikasikan tanpa mengkompromikan etika kewartawanan,” katanya.
Kali terakhir Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dipinda adalah pada 2012.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata KDN telah mengeluarkan satu surat amaran tegas, dua surat amaran, 14 surat teguran, 44 surat nasihat dan empat surat tunjuk sebab kepada media dan pencetak pada tahun lepas.