Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pasar Pasir Puteh: Siapa yang tak ikut undang-undang?
Diterbitkan:  Mar 13, 2018 1:49 PM
Dikemaskini: 7:18 AM

Akhbar web rasmi PAS Harakahdaily hari ini membangkitkan persoalan berkaitan pihak mana sebenarnya yang tidak mengikut undang-undang dalam isu Pasar Besar Patih Putih, Kelantan.

Ketua penerangan Pemuda PAS negeri Nazman Che Ibrahim hari ini menulis panjang membariskan kronologi kes berkaitan, yang menurutnya menyaksikan kemenangan mereka di mahkamah.

Menurut Nazman, injunksi peniaga bagi menyekat Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) menghalang operasi di premis itu, termasuk memotong bekalan elektrik dan air, yang difailkan pada 1 Februari 2017 sebenarnya tidak berjaya.

Katanya, Mahkamah Tinggi Kota Bharu telah menolak permohonan itu dengan kos.

Kes itu kemudian, menurut Nazman, dibawa ke Mahkamah Rayuan pada 9 Ogos tahun lalu tetapi peniaga bersetuju menarik balik rayuan pada 6 September tahun sama.

“Ini membawa maksud, injunksi yang dibawa oleh peniaga untuk menghalang empat perkara seperti dalam catatan di atas telah gagal.

“Malahan peniaga sendiri menarik balik rayuan mereka di Mahkamah Rayuan,” kata Nazman.

Sementara itu, kata Nazman lagi, peniaga juga memfailkan satu lagi kes berasingan bagi menuntut ganti rugi dari MDPP pada 27 Februari tahun lalu.

Tuntutan itu juga, katanya, menemui jalan buntu apabila Mahkamah Tinggi Kota Bharu membenarkan permohonan MDPP membatalkan tuntutan peniaga dengan kos RM2,000.

“Kes tuntutan peniaga terhadap MDPP secara automatik adalah terbatal tanpa perlu perbicaraan,” kata pemimpin PAS itu.

Sementara itu, berkaitan permohonan injunksi baharu oleh peniaga untuk menghalang MDPP merobohkan pasar lama ini, Nazman berkata, ia hanya akan dimulakan pada hari Khamis ini.

“Ia belum ada keputusan. Belum ada apa-apa injunksi.

“Justeru atas dasar apa menuduh MDPP bertindak bertentangan dengan keputusan mahkamah?” soalnya.

Peniaga semalam menghalang perobohan itu atas antaranya atas alasan bagi menunggu keputusan kes permohonan injunksi baru itu.

Persatuan Peniaga Kecil Dalam Pasir Puteh Kelantan (PEMBEKAL) pada 1 Mac lalu memfailkan permohonan injunksi Erinford untuk menghalang notis pengosongan MDPP di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu.

Peguam Shaharuddin Mohamed berkata, injunksi itu dibuat bagi mengelakkan peniaga hilang tempat mencari rezeki sekali gus mengalami kerugian kewangan yang teruk jika bangunan itu dirobohkan secara paksa.

Katanya, injunksi ini amat penting sehingga rayuan berkaitan kes ganti rugi diputuskan di Mahkamah Rayuan pada 22 Mac ini.

Jawab tuduhan macam Zionis, Yahudi

Sementara itu, beliau juga menolak tuduhan yang cuba menggambarkan kerajaan PAS bertindak “seperti Zionis, seakan-akan Yahudi” semalam.

Beliau juga cuba mengaitkan tentangan itu dengan peranan tokoh pembangkang negeri Husam Musa.

“Husam pula bersiaran dari nun jauh di bumi London, memperlihatkan keprihatinan beliau akan isu ini. Dan beliau menasihatkan juga agar kerajaan negeri menangguhkan tindakan tersebut sehingga selepas PRU nanti.

“Adakah Husam fikir kerajaan negeri Kelantan ini bersikap hipokrit? Menangguhkan tindakan hanya kerana mahu menempuh PRU?

“Ini bukan cara PAS. Sekiranya kebenaran itu pahit, namun memberi kebaikan kepada rakyat, maka PAS akan terus tempuh dan tangani," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS