Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin sekali lagi berdepan soalan sama ada akan menyertai parti politik menjelang pilihan raya umum yang mesti diadakan selewat-lewatnya beberapa bulan lagi.
Kali ini soalan itu muncul selepas dua rakan baiknya Dr Maszlee Malik dan Wan Saiful Wan Jan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Bagaimanapun, Asri, anak kelahiran Pulau Pinang itu, tidak memberi jawapan jelas tetapi memilih merendah diri.
“Ada orang bertanya saya, tidakkah mahu masuk politik sebab dua sahabat ternama telah masuk.
“Saya jawab, saya orang biasa. Bak kata pujangga: Datang tidak bertambah, pergi tidak berkurang,” katanya.
Asri pada 2010 pernah diuar-uarkan akan menyertai Umno tetapi tidak menjadi kenyataan walaupunpun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim pernah berkata Asri akan masuk Umno “dalam kumpulan kedua”.
Shahidan berkata demikian ketika menerima borang anak bekas mufti Perlis – Datuk Fathul Bari Mat Jahaya bersama 40 ulama muda (bawah) yang menyertai Umno.
Menjelang pilihan raya umum 2013, beberapa parti pembangkang turut menunjukkan minat memikat Asri.
Bagaimanapun ketika itu, hanya sahabat beliau Dr Juanda Jaya yang memilih haluan politik bersama BN dan bertanding di negeri kelahirannya di Sarawak.
Asri restui Maslee?
Sementara itu, di Facebook, Asri menulis panjang berkaitan Maszlee, yang dilihat seperti merestui kemasukan ahli akademik Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.
Menurut Asri, Maszlee antaranya mempunyai keistimewaan tersendiri dalam aliran pemikiran politik dan gerakan Islam selain handal dalam fikah dan bidang akademik.
Sementara itu, mengulas penyertaan Mazlee beliau berkata dimaklumkan perkara itu pada waktu Subuh beberapa hari lalu.
“Beliau meminta saya mendoakan beliau dalam tahajud. Saya pada mulanya terdiam sebab saya rasa itu bukan aliran politik beliau,” katanya.
Asri juga berkata beliau berfikir Mazlee dipengaruhi sahabat baik mereka Wan Saiful Wan Jan (atas) yang menyertai BERSATU lebih awal.
“Saya fikir sahabat baik kami Wan Saiful Wan Jan mempengaruhi beliau. Ini kerana pada saya aliran asal pemikiran politik Wan Saiful Wan Jan juga berbeza dari BERSATU.
“Wan Saiful juga sahabat kami bersama. Namun setelah Dr Maszlee jelaskan kepada saya, saya dapat faham pola pemikiran mereka.
“Ya, saya akur politik itu sentiasa fleksibel dan ijtihad politik juga sentiasa mengikut keperluan semasa atau maslahah yang hendak dicapai,” katanya.
Asri juga berkata, Mazlee memberitahunya telah membuat sembahyang istikharah berulang kali sebelum membuat keputusan.
“Alhamdulillah, saya doakan Allah merahmati keputusan beliau. Sebagai sahabat saya akan mendoakan yang terbaik untuk beliau,” katanya.