Penemuan kapal persiaran mewah Equanimity di Teluk Benoa, Bali boleh dianggap seperti ikan masuk sendiri ke bubu di tepi rumah.
Dalam keadaan begitu kata wartawan veteran Subky Latif ikan berkenaan bebas diperlakukan mengikut kehendak pemilik bubu berkenaan.
Namun anehnya kata bekas pengarang Utusan Melayu itu Malaysia tetap berdalih supaya boleh tidak mempedulikan penemuan Equanimity berkenaan.
Keadaan itu kata Subky menunjukkan seolah-olah Malaysia tiada kepentingan ke atas kapal berkenaan dan rela berdepan dengan umpatan serta kecaman rakyat.
"Apa orang hendak kata, katalah. 1MDB, kerajaan tidak terkesan dengannya," kata bekas anggota Jawatankuasa Pusat PAS berkenaan.
Menjelaskan keadaan itu Subky yang terkenal dengan pandangan kritisnya itu menjelaskan keadaan berkeanan berlaku kerana kerajaan enggan melibatkan Equanimity serta individu didakwa menjadi pemilik sebenarnya - Jho Low - dengan Datuk Seri Najib Razak.
"Selama-lamanya Najib dan 1MDB berdalih, tiada yang luar biasa dalam urusan 1MDB dan apa yang dikatakan skandal hanya fitnah memburukkan kerajaan dan PM.
"Yang semua orang mahu, kapal itu dan Jho Low disiasat untuk tahu penglibatan Jho Low atas skandal itu. (Tetapi) jika Jho Low disiasat, ia sama seperti menyiasat Najib," katanya dalam tulisan terbaru kolumnya disiarkan harakahdaily.
Equanimity ditahan pihak berkuasa Indonesia - dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) - pada 28 Feb lalu di kawasan pelancongan mewah Indonesia. Selepas disiasat kapal persiaran itu kemudian dirampas.
Wang tak mengalir sendiri
Ahli perniagaan muda dan kontroversi itu kemudian mengeluarkan kenyataan - melalui wakilnya - mendakwa rampasan itu sebagai "keterlaluan".
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak pula menegaskan tiada bukti menunjukkan Equanimity milik Jho Low.
Kecelaruan yang ditunjukkan pelbagai pihak kerajaan mendorong bekas pengarang kumpulan New Straits Times berpendapat apa yang berlaku itu seolah-olah kanak-kanak sedang berkelahi.
Kata Mustapha Kamil Mohd Janor langkah pihak tertentu mempertahankan Jho Low sebenarnya bukan didorong oleh kesedaran atau keikhlasan masing-masing.
Sebaliknya, kata Mustapha Kamil, ia lebih bertujuan mahu menjaga periuk nasi masing-masing.
"Itulah sebabnya langkah mempertahankan Jho Low itu semakin hari semakin lucu jadinya," katanya.
Kapal Equanimity yang dianggarkan bernilai AS$250 juta (RM978 juta) itu merupakan antara aset yang diburu Jabatan Kehakiman AS kerana disyaki dibeli menggunakan wang yang diambil daripada dana 1MDB.
Kata Subky selepas dicari pihak berkuasa AS di benua Amerika tiba-tiba Equanimity ditakdirkan dikesan "di depan muka Malaysia".
"Tiba-tiba (Equanimity) dijumpai di Indonesia. Bukankah ini Allah hendak menyerahkannya kepada kerajaan dan rakyat Malaysia? Ia ibarat ikan kita tidak perlu ke laut jauh, ikan masuk ke bubu tepi rumah sendiri. Buatlah apa yang (nak) dibuat dengannya," kata Subky.
Menurut beliau ramai meyakini Equanimity dibeli dengan dana 1MDB dan wang tidak mengalir dengan sendiri, sebaliknya mesti berlaku sama ada melalui jenayah - seperti rompakan dan kecurian - atau disalurkan secara rela membabitkan pemberi dan penerima.
Baca Equanimity tiada kena-mengena dengan 1MDB
Katanya jika dana itu berpindah kerana unsur jenayah, mangsa mesti membuat aduan.
"Jika yang mengambilnya ialah Jho Low, maka 1MDB yang memberikannya.
"Tiada mungkin ia diberi tanpa persetujuan yang paling berkuasa atau yang paling berkuasa itu suruh (wang itu) diberi kepadanya," kata Subky.
Beliau juga berpendapat mana-mana pihak yang kehilangan wang atau berasa ditipu mesti mengadu kepada pihak yang berkenaan.
"Tetapi siapa juga yang memberi duit kepada orang, nescaya tiada ia mengadu," katanya.