Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jentolak 'serang' pasar Pasir Puteh, peniaga lawan
Diterbitkan:  Mar 12, 2018 1:53 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

Pegawai-pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang datang bersama jentolak untuk merobohkan Pasar Besar Pasir Puteh, Kelantan terpaksa pulang begitu sahaja apabila dihalang peniaga.

Peniaga naik angin dengan tindakan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) itu dan tidak membenarkan perobohan dibuat selagi tiada arahan mahkamah.

Rakaman insiden itu dimuat dalam Facebook Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan pagi tadi.

Berdasarkan rakaman video tersebut, kejadian sekitar jam 9.30 pagi tadi sekali gus mencetuskan suasana kecoh di perkarangan pasar lama itu.


Seorang wakil peniaga tampil menggesa pihak PBT supaya mengemukakan sebarang notis mahkamah yang membenarkan tindakan tersebut dibuat hari ini.

Lelaki berbaju hijau dalam lingkungan usia 40-an itu turut menegaskan PTB tidak berhak melakukan sebarang tindakan selagi tiada arahan daripada mahkamah.

"Selagi tiada arahan mahkamah kami tidak akan berundur, tunjuk surat mahkamah dan saya akan balik segera.

"Jangan ingat barangan dalam pasar ini nilainya hanya RM3," katanya dengan nada keras.

Sementara itu, difahamkan kekecohan kemudian reda kira-kira jam 11 pagi walaupun salah sebuah jentolak masih tidak beredar dari lokasi.

Keadaan dilihat terkawal dengan pengawasan beberapa anggota polis dan penguat kuasa PBT di lokasi kejadian dan tiada sebarang insiden tidak diingini dilaporkan berlaku.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan peniaga di Pasar Besar Pasir Puteh enggan berpindah ke Pasar Siti Hajar dengan alasan petak jualannya yang kecil dan lokasi pasar baru yang tidak strategik.

Malah, Persatuan Peniaga Kecil Dalam Pasir Puteh Kelantan (PEMBEKAL) turut memfailkan permohonan injunksi erinford bagi menghalang notis pengosongan oleh MDPP di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, pada 1 Mac lalu dan keputusan bakal didengar pada 15 Mac nanti.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi lanjut pihak MDPP dan peniaga terbabit berhubung insiden tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS