Majalah terkemuka Indonesia, Tempo cuba menyoroti usaha menutup skandal 1MDB oleh kerajaan Malaysia meskipun siasatan dilakukan oleh beberapa negara asing.
Majalah mingguan itu dalam edisi terbaru memaparkan skandal 1MDB di muka hadapannya dengan beberapa artikel di bahagian dalam majalah itu termasuk bertajuk "Lancar di luar, mandek di dalam".
Mandek dalam bahasa Indonesia bermaksud 'tersekat' atau 'sangkut'.
Laporan itu memetik Anggota Parlimen Alor Setar Gooi Hsiao Loong yang mengatakan usaha membangkitkan soalan berkaitan 1MDB di parlimen ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Antara lain, laporan itu menyebut bahawa keputusan Pandikar dibuat kerana protes oleh anggota parlimen dan pemimpin Umno.
Tempo juga menyoriti pihak berkuasa Malaysia termasuk Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang telah membersihkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang salah laku berkaitan 1MDB.
Ia menyatakan bahawa siasatan oleh pihak berkuasa Malaysia sejak kira-kira tiga tahun yang lalu tidak mengakibatkan sebarang pertuduhan dikenakan terhadap individu yang dikaitkan dengan 1MDB.
"Berbeza dengan Malaysia, sembilan negara lain yang mengusut korupsi ini justru menemukan fakta sebaliknya dari klaim (dakwaan) pemerintah Malaysia.
"FBI menemukan kaitan antara Jho Low dan 1MDB, bahkan menyimpulkan uang untuk membeli yatch itu hasil hasil pemecahan uang pokok dari surat utang 1MDB," demikian menurut Tempo.
Skandal 1MDB menjadi berita utama di Indonesia selepas tindakan menyita kapal layar mewah, Equanimity yang dikaitkan dengan jutawan kelahiran Pulau Pinang, Jho Low di Benoa, Bali pada 28 Februari.
November lepas, Anggota Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata sekurang-kurangnya empat pegawai bank didapati bersalah dan dipenjara di Singapura kerana mempunyai kaitan dengan 1MDB, manakala sekurang-kurangnya tiga negara lain, iaitu Switzerland, Luxembourg dan Amerika Syarikat, sedang meneliti aktiviti yang didakwa melibatkan pengubahan wang haram syarikat berkenaan.
Pada masa itu, Lim memberi respon terhadap Timbalan Menteri Datuk Aziz Kaprawi yang mendakwa DOJ bergantung kepada sumber yang tidak boleh dipercayai dalam siasatannya terhadap 1MDB.
Secara keseluruhan, DOJ percaya sekurang-kurangnya AS$ 4.5 bilion telah disalahgunakan dari 1MDB dan didakwa dicuci melalui sistem kewangan AS untuk memperoleh pelbagai aset.
Ia berusaha untuk merampas aset bernilai AS $ 1.7 bilion yang didakwa diperoleh menggunakan dana yang dicuri dan kapal layar mewah berkenaan adalah antara aset tersebut.