Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kit Siang rayu MP Swiss pulangkan RM430 juta dana 1MDB
Diterbitkan:  Mar 11, 2018 8:52 PM
Dikemaskini: 12:57 PM

Pemimpin parlimen DAP Lim Kit Siang merayu para Angota Parlimen Switzerland untuk menyokong usul di di parlimen mereka bagi memulangkan sejumlah CHF104 juta (RM430 juta) dana berkaitan 1MDB menjelang perbahasan pada Selasa ini.

"Saya telah menghantar emel kepada MP Swiss meminta mereka menyokong usul di Parlimen Switzerland untuk memulangkan RM430 juta dana berkaitan 1MDB yang dirampas dari bank-bank di Swiss kerana penggubahan wang haram dan amalan korup lainnya kepada Malaysia agar ia memberi manfaat kepada rakyat Malaysia yang mendapat mudarat skandal kewangan antarabangsa yang besar ini," kata beliau dalam suatu kenyataan hari ini.

Kerajaan Switzerland merancang untuk menuntut dana yang dirampas itu, menyebut tiada pihak yang menuntut.

Setakat ini, 1MDB belum pernah memperakui sebarang dananya telah dilesapkan.

Susulan perbahasan Selasa ini, para penggubal undang-undang di parlimen Switzerland  akan membuat undian pada Khamis ini.

Lim berkata pemulangan kembali wang korupsi yang disembunyikan atau disimpan di luar negara dari negara asalnya merupakan prinsip yang diterima diperingkat antarabangsa.

Ia berasaskan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Menentang Korupsi 2003, yang ditandatangani Malaysia di Mexico pada 8 Disember dan diratifikasikan pada 24 September 2008.

"Sorotan pada konvensyen itu adalah pemasukan bab khas berhubung perkara mendapatkan kembali aset yang menyasarkan pemulangan kembali aset kepada pemiliknya yang berhak, termasuklah dari negara yang telah diambil dananya secara haram.

"Perkara 35 Konvensyen PBB Menentang Korupsi mengangkat prinsip entiti atau orang yang telah mengalami kerosakan akibat perbuatan rasuah mempunyai hak untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab atas kerosakan itu untuk mendapatkan pampasan," kata beliau.

Bagaimanapun, Lim berkata menjadi suatu perkara yang 'paling tidak sesuai' untuk mengembalikan dana 1MDB yang dicuri terus kepada kerajaan Malaysia kerana ia 'terlibat secara langsung' dalam skandal 1MDB.

"Dana berkaitan 1MDB bernilai RM430 juta yang dirampas dari bank-bank Switzerland dan syarikat-syarikat kewangan harus disimpan sebagai amanah untuk manfaat rakyat Malaysia.

"Amat tidak wajar dan secara moralnya tidak dapat diterima untuk kerajaan Switzerland menyimpan wang ini bagi kegunaannya sendiri kerana ia akan menetapkan duluan antarabangsa yang buruk pada era rasuah diisytiharkan sebagai jenayah antarabangsa yang perlu diperangi," katanya.
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS