Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: Kenyataan menteri sekarang lebih 'bodoh'
Diterbitkan:  Mar 11, 2018 8:02 PM
Dikemaskini: 12:03 PM

Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kesal dengan kenyataan menteri Umno sekarang yang disifatkan beliau lebih 'bodoh' daripada zaman pentadbirannya dulu.

Mahathir mengulas beberapa kenyataan menteri Umno yang mendakwa ekonomi negara berada dalam keadaan yang baik.

Antaranya, kenyataan Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang berkata ramai rakyat Malaysia melancong ke luar negara, kenyataan Anggota Parlimen Johor Bahru Tan Sri Sharir Samad yang menyebut kutipan derma masjid meningkat dan MP Kinabatangan Datuk Bung Moktar yang memetik jumlah peningkatan tahap kegemukan (obesiti).

"Ini bukanlah indikator kemantapan ekonomi," kata Mahathir dalam hantaran video yang dimuatnaik pada halaman rasmi Facebook Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

"Nampak menteri-menteri Umno ini, walaupun dulu saya ada menteri tapi tak lah macam yang ada sekarang ini.

Sekarang ini, kenyataan-kenyataan mereka lebih bodoh," tambah Mahathir yang merupakan Pengerusi BERSATU dan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Mahathir berkata satu lagi contoh ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Keruak yang mendakwa rampasan kapal peranginan Equanimity oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia di Bali tidak ada kaitan dengan ahli perniagaan Low Taek Jho, yang dikenali sebagai Jho Low.

Menurut Jabatan Keadilan AS (DOJ), kapal peranginan mewah bernilai AS$260 juta itu didakwa dimiliki Jho Low yang dibeli menggunakan dana yang dilesapkan daripada 1MDB melalui sistem kewangan AS.

" Salleh Keruak kata Jho Low tidak memiliki kapal Equanimity, sedangkan Jho Low sendiri mengakui itu adalah kapal miliknya.


Berita berkaitan: Salleh: Tiada bukti Jho Low pemilik Equanimity


"Inilah kenyataan-kenyataan yang tidak berasas, yang mendedahkan kebodohan orang yang buat kenyataan ini," kata Mahathir.

Susulan rampasan kapal mewah tersebut, Low melalui jurucakapnya berkata 'tindakan DOJ itu keterlaluan'.

DOJ mendakwa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion dilesapkan daripada 1MDB dan digubah secara haram melalui sistem kewangan AS untuk membeli harta di sana.

DOJ berusaha untuk merampas harta bernilai AS$1.7 bilion yang didakwa dibeli menggunakan dana yang dicuri.

1MDB tidak pernah memperakui sebarang dananya telah dilesapkan.


 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS