Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bapa syaki anak dilarikan bekas isteri
Diterbitkan:  Mar 11, 2018 11:21 AM
Dikemaskini: 3:30 AM

Bapa kepada dua anak yang dilapor hilang dari sebuah tadika Khamis lalu mengesyaki kanak-kanak berkenaan dilarikan bekas isterinya, seorang warga New Zealand.

Mohd Saleem Mohammad Aslam, 31 berkata dia telah bercerai dengan bekas isterinya sejak tidak tahun lalu dan wanita itu pernah menjaga anak mereka pada awal perceraian.

Menurutnya, dia mengambil alih tanggungjawab menjaga kanak-kanak berkenaan selepas mendakwa mereka tidak dijaga dengan baik oleh ibunya yang turut tinggal dengan seorang lelaki tidak dikenali.

"Saya juga telah berusaha menghubungi bekas ibu mentua untuk menanyakan mengenai perkara itu, namun tidak mendapat kerjasama yang baik," katanya kepada Mingguan Malaysia hari ini.

Menurutnya, bekas isterinya yang berusia lingkungan 20-an itu tidak pernah menghubunginya untuk berjumpa dengan anak-anak mereka.

“Jika benar dia mahu berjumpa, beritahu saja kerana saya dan keluarga tidak pernah menghalang dia bertemu dengan anak-anak," katanya.

Mohd. Saleem memberitahu, pihaknya cuba mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tadika berkenaan untuk mengesan nombor pendaftaran kenderaan individu yang mengambil anaknya, namun gagal.

“Saya sendiri risau kerana belum dapat dipastikan adakah benar bekas isteri yang mengambil dua anak saya.

"Selagi belum dapat dipastikan, saya bimbang memikirkan keselamatan mereka dan jika diambil oleh bekas isteri sekalipun, saya berhak diberi penjelasan,” katanya.

Sementara itu menurut sumber, polis mengesahkan kanak-kanak yang didakwa dilarikan telah diambil oleh ibu kandung mereka.

“Pihak polis sedang mengesan wanita terbabit untuk membantu siasatan berkaitan kes itu,” sumber tersebut dipetik berkata.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi Khamis lalu, dua beradik terbabit dikatakan dilarikan oleh tiga individu tidak dikenali, termasuk seorang wanita ketika berada di tadika berkenaan di Seksyen 16 Petaling Jaya.

Kehilangan mereka disedari ketika ibu saudaranya pergi ke tadika terbabit untuk menjemput adik-beradik itu pulang, namun dimaklumkan oleh guru bahawa mereka diambil oleh seorang wanita didakwa ibu kandung kanak-kanak berkenaan untuk pemeriksaan kesihatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS