Tun Dr Mahathir Mohamad 'mengakui' Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi banyak bantuan kepada negeri Kelantan berbanding zamannya menerajui kerajaan persekutuan.
Katanya, bantuan Najib kepada Kelantan itu kini menyebabkan rakyat Kelantan 'kaya-raya'.
"Betullah, sebab itu orang Kelantan cukup 'kaya' sekarang. Pergi kira tengok.
"Kelantan merupakan negeri termiskin di Malaysia, pasal Najib lah bagi duit banyak," kata perdana menteri keempat itu dengan nada menyindir.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri program Jelajah HARAPAN di Tanah Merah, hari ini.
Sebelum ini, Najib ketika lawatan ke Kelantan mendakwa beliau lebih banyak memberi bantuan kepada Kelantan sepanjang menjadi perdana menteri.
Beberapa faktor yang dikaitkan dengan persepsi Najib lebih 'baik hati' terhadap Kelantan berbanding zaman Dr Mahathir termasuklah pendekatan taawun (tolong-menolong) yang diamalkan antara PAS dan Umno dengan strategi politik matang dan sejahtera.
Kelantan yang diperintah oleh PAS sejak 28 tahun lalu sering kali dilihat antara negeri yang terkebelakang dalam aspek pembangunan.
Anak tiri
PAS melalui Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagaimanapun menyatakan betapa negeri itu memberi petunjuk bahawa parti itu mampu mentadbir dengan lebih baik.
Katanya, PAS percaya parti itu dapat menyelesaikan isu kos sara hidup yang menekan rakyat ketika ini jika parti itu diberi kepercayaan menjadi kerajaan selepas pilihan raya umum (PRU) nanti.
"(Ia) dapat dilihat oleh rakyat dengan insaf dan sedar supaya memberi peluang kepada Islam untuk memerintah dan mentadbir, termasuk untuk mengendalikan urusan kehidupan rakyat yang berkait dengan sara hidup mereka," jelasnya seperti dilaporkan Malaysiakini, semalam.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata, dakwaan beliau menganaktirikan Kelantan adalah tidak benar sama sekali.
Baca TMB: Kelantan lebih baik di zaman Najib
Sebaliknya kata pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu, kerajaan Kelantan ketika itu tidak memberi kerjasama yang baik.
"Kita (nak) bagi bantuan, tetapi kenalah dapat kerjasama daripada kerajaan Kelantan.
"Apabila kerajaan Kelantan maki-hamun kita, (seperti ababila) kita nak bagi duit dia maki kita, susahlah sikit," katanya.
Tambah Dr Mahathir, semua pemberian kerajaan persekutuan kepada Kelantan pada zamannya direkodkan.
"Kita bagi, bukan tak bagi. Ada rekod dalam kerajaan yang kita bagi duit pada Kelantan, " katanya menangkis dakwaan BN yang mengatakan beliau meminggirkan Kelantan selama 22 tahun menerajui negara.