Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kita bina MRT, kita boleh selesai masalah air'

Masalah air yang terjadi di Selangor ketika ini dapat diselesaikan dengan mudah oleh kerajaan persekutuan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang memetik kejayaan Putrajaya membina sistem Transit Aliran Massa (MRT).

Najib berkata demikian di sambutan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ke-46 di Serdang hari ini.

Dalam ucapan sama, Najib berkata meskipun rakyat boleh berbeza pendapat, demokrasi tidak seharusnya dijadikan sebagai alasan untuk memburukkan negara sehingga menyebabkan orang luar hilang kepercayaan.

"Kita lihat sehari dua ini memang ada perbuatan demikian melalui media sosial, tulisan-tulisan tertentu tetapi bagi kita mereka mempunyai agenda tertentu untuk mengaut kekuasaan politik dengan apa cara sekalipun," tambahnya.

Pihak seperti itu, kata perdana menteri, tidak mampu melakukan hal-hal yang berjaya dilakukan kerajaan persekutuan.

"Jika kita cakap tentang Selangor sehari dua ini, apa masalahnya?

"Air bukan kemudahan yang amat sukar (diuruskan). Kalau kita boleh laksanakan MRT, kereta api tanpa drebar, takkanlah masalah air tak boleh diselesaikan," kata Najib yang mendapat sorakan daripada kira-kira 5,000 anggota RELA dalam dewan.

Menurut perdana menteri, masalah seperti itu terjadi kerana "main politik secara keterlaluan" sehingga rakyat tidak diutamakan.

"Oleh itu, kepada anggota RELA saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana saya tahu anggota RELA rata-rata cukup yakin kepada kerajaan yang ada dan kerana itulah sambutan kita hari ini ibarat lautan dengan topi kuning, baju, beret kuning, dan baju camouflage yang menunjukkan kehebatan anggota RELA yang cukup segak," katanya.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam berkata kerajaan Selangor tidak seharusnya disalahkan atas masalah gangguan air yang terjadi.

"Kalau berani, salahkan perdana menteri. Saya tidak mahu salahkan sesiapa namun di pihak kerajaan negeri, kita sudah mengambil semua langkah proaktif bagi memastikan perkara ini tidak terjadi," kata Azmin.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS