Pakatan Harapan (HARAPAN) mampu menang di lima negeri pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, menurut kaji selidik Invoke Malaysia.
Negeri tersebut adalah Kedah, Perak dan Johor selain mengekalkan kemenangan di selangor dan Pulau Pinang, kata pengasasnya Rafizi Ramli ketika membentangkan keputusan kajian, malam tadi.
Kaji selidik yang melibatkan 2,000 responden dan dijalankan sehingga Februari itu turut membayangkan kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) tergantung di Melaka dan Negeri Sembilan.
Ia juga menjangka HARAPAN akan menang di 89 kerusi Parlimen di Semenanjung manakala BN menang di 76 kerusi. Tiada responden daripada Sabah dan Sarawak dalam kaji selidik ini.
PAS pula dijangka tidak akan menang walau satu kerusi Parlimen dan malah kalah di Kelantan, negeri yang ditadbirnya sejak 1990.
Selain Kelantan, dua lagi negeri di pantai timur iaitu Pahang dan Terengganu juga dijangka kekal dipegang BN, kata Rafizi.
Kaji selidik itu juga mendapati sokongan pengundi Melayu terhadap BN menurun pada kadar enam peratus sejak tiga bulan lalu, walaupun masih tinggi jika dibandingkan dengan sokongan terhadap HARAPAN dan PAS.
"Kali terakhir sokongan Melayu terhadap Umno turun dengan drastik seperti ini adalah pada 1999, ia menyebabkan BN tewas dua negeri.
"Melihat kepada angka ini, gelombang besar (Melayu) akan tiba," kata Rafizi.
Kaji selidik itu mendapati 28.5 peratus pengundi Melayu menyokong BN manakala 14.1 peratus menyokong HARAPAN dan 18 peratus PAS.
"Trend menunjukkan sokongan terhadap HARAPAN semakin meningkat berbanding PAS, dan akan melepasi parti itu tak lama lagi," katanya.
Bagaimanapun 22.3 peratus responden Melayu dalam kaji selidik itu enggan menjawab siapa yang akan diundi mereka, manakala 17 peratus lagi belum membuat keputusan.
Berhubung ketiadaan responden dari Sabah dan Sarawak, Rafizi berkata ini kerana etnik di dua negeri itu lebih pelbagai maka sukar untuk mendapatkan sampel yang cukup bagi setiap kumpulan etnik.
Namun, beliau menjangka parti pembangkang akan menang lapan kerusi Parlimen di Sabah dan lima atau enam di Sarawak.
Secara keseluruhan, Invoke menjangka HARAPAN setakat ini mampu memenangi 103 kerusi Parlimen - kurang 19 untuk membentuk kerajaan.