Walaupun terpalit pelbagai skandal, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak didakwa akan “mencuri” pilihan raya umum ke-14 melalui manipulasi sistem, lapor The Economist.
Dalam rencana bertajuk "Stop, thief! Malaysia's PM is about to steal an election" (Berhenti, pencuri! PM Malaysia akan curi pilihan raya), majalah mingguan itu berkata Najib takut pengundi tidak akan memilih BN jika diberi pilihan.
Justeru, penerbitan berpengaruh British itu mendakwa Najib akan “menafikan pilihan pengundi”, antaranya melalui amalan gerimander dan salah pembahagian sempadan pilihan raya.
Laporan itu membangkitkan isu 1MDB, yang menurut pihak berkuasa Amerika Syarikat, berbilion ringgit telah disalah guna, sebagai hujah utama.
“Di kebanyakan negara, kerajaan yang membenarkan AS$4.5 bilion hilang dari agensi pembangunan negara akan bergelut untuk menang dalam pilihan raya semula.
“Jika AS$681 juta berada dalam akaun peribadi perdana menteri pada masa yang sama, yang dia jelaskan sebagai hadiah dari pengagum yang tidak dinamakan, tugas (dalam pilihan raya) itu akan lebih sukar.
“Penutupan kes yang jelas, melibatkan pemecatan pegawai-pegawai yang menyiat, atau pihak yang hanya mengadu berkaitan skandal itu, akan menjadi masalah terakhir buat pengundi.
“Tetapi dalam piliha nraya di Malaysia, pengundi tidak diambil kira sangat,” kata artikel lantang itu.
Najib menafikan sebarang salah laku berkaitan 1MDB.
Peguam Negara Tan Sri Apandi Alai juga telah membersihkan namanya daripada sebarang salah laku.
The Economist juga menyebut bagaimana BN terus berkuasa walaupun telah hilang undi popular dalam pilihan raya umum 2013.
[Baca berita asal]