Pakatan Harapan (HARAPAN) malam ini melancarkan manifesto 138 halaman yang antara lain, memperincikan rancangan pakatan pembangkang menangani kenaikan kos sara hidup, jika menawan Putrajaya.
Tawaran paling popular adalah menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), namun manifesto itu memasukkan beberapa langkah lain yang tidak diterbitkan sebelumnya.
Antaranya termasuk rancangan mengurangkan cukai eksais bagi mereka yang membeli kereta pertama.
Dasar ini adalah untuk kereta di bawah 1600cc dan bagi pendapatan isi rumah tidak melebihi RM8,000.
Manifesto itu juga memperkenalkan kuota bulanan subsidi bahan bakar kepada kumpulan sasaran.
Subsidi bahan bakar akan diberikan untuk motosikal dengan enjin di bawah 125cc dan kereta dengan enjin di bawah 1300cc.
HARAPAN juga akan memperkenalkan pas masuk RM100 di kawasan bandar bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.
Selain itu, gabungan itu juga mengulangi rancangan untuk menghapuskan tol dalam beberapa fasa.
HARAPAN juga mencadangkan pelbagai langkah untuk menangani kos sara hidup, termasuk kos penjagaan kesihatan.
Ia merancang untuk memperkenalkan baucar tahunan RM500 bagi membolehkan mereka yang tergolong dalam kumpulan B40 mendapatkan penjagaan kesihatan asas di klinik.
Manifesto itu juga mencadangkan peningkatan pendapatan boleh guna dan simpanan penduduk.
Antara mekanisme dicadangkan adalah menangguhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pindidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga peminjam mencapai gaji sebanyak RM4,000.
Kerajaan HARAPAN juga akan menawarkan insentif cukai kepada majikan untuk membantu membayar pinjaman PTPTN kakitangan mereka tanpa potongan gaji.
Selain itu HARAPAN juga mahu meningkatkan gaji minima kepada RM1,500 dan menyelaraskannya antara semenanjung serta Sabah dan Sarawak.
HARAPAN juga memperkenalkan potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk golongan suri rumah di mana potongan akan dibuat menerusi caruman suami mereka yang bekerja sebanyak 20 peratus.
Sebagai tanda penghargaan kepada suri rumah, kerajaan HARAPAN juga akan menyumbangkan sebanyak RM50 sebulan kepada KWSP mereka.