Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bangunan tambahan Hospital Segamat dibina bulan depan
Diterbitkan:  Mar 8, 2018 6:14 PM
Dikemaskini: Mar 9, 2018 1:58 PM

DUN JOHOR l Projek pembinaan bangunan tambahan Hospital Segamat akan mula dilaksanakan bulan depan dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata kerajaan bersetuju meluluskan peruntukan RM90.5 juta kepada Hospital Segamat bagi melaksanakan pembinaan itu.

"Dengan tempoh pelaksanaan projek dianggarkan siap di dalam tiga tahun mendatang, ia akan menjadikan Hospital Segamat sebagai sebuah pusat perkhidmatan kesihatan terbaik yang akan disediakan oleh kerajaan di utara negeri Johor," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Lau Chin Hoon (BN-Pemanis) yang bertanyakan mengenai pembangunan dikecapi Hospital Segamat sejak lima tahun lepas dan bakal berlaku beberapa tahun akan datang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Ayub berkata ketika ini, Hospital Segamat sedang dinaik taraf penyaman udaranya bermula Okt lepas hingga Okt depan yang melibatkan peruntukan RM7.4 juta.

Beliau berkata peruntukan disalurkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air itu melibatkan penggantian keseluruhan penyaman udara di hospital termasuk wad, klinik pakar serta bilik bedah.

Katanya, untuk perancangan tahun ini sehingga 2020, perkhidmatan kepakaran nefrologi akan mula ditempatkan di hospital tersebut.

Selain itu, sejak Nov lepas, Hospital Segamat memperoleh dua ambulans baru menjadikan jumlah keseluruhan ambulans di hospital itu sebanyak tujuh buah.

"Hospital Segamat merupakan salah satu hospital pakar major yang mempunyai 314 katil. Mulai 2010 sehingga hari ini, Hospital Segamat mempunyai 13 perkhidmatan pakar.

Perkhidmatan kepakaran tersedia ini dimulakan secara berperingkat. Dari tahun 2010 hingga 2014, perkhidmatan kepakaran utama telah dimulakan secara berperingkat termasuklah Perubatan Am, Sakit Puan (Obstetrik dan Ginekologi), Pembedahan Am, Tulang (Ortopedik), Kanak-kanak (Pediatrik), Bius (Anestesiologi), Kecemasan & Trauma, X Ray (Radiologi) dan Sakit Jiwa (Psikiatrik)," katanya.

Menurut Ayub, mulai 2015 pula, Hospital Segamat memulakan perkhidmatan kepakaran dalam bidang Sakit Puan,  Otorinolaringologi (penyakit berkaitan telinga, hidung dan tekak), Mata (Oftalmologi) dan Bedah Mulut, manakala pada tahun lepas pula, perkhidmatan kepakaran Kajian Tisu, Organ dan Mayat (Patologi) mula diperkenalkan di Hospital Segamat.

Beliau berkata mengikut rekod, Hospital Segamat pada setiap tahun mulai 2012 sehingga tahun lepas, mencatatkan purata tahunan pesakit wad seramai 24,188 orang dengan jumlah pesakit wad tertinggi direkodkan pada 2016 iaitu sebanyak 25,350 orang.

Bagi perkhidmatan pesakit luar pula, hospital itu merekodkan purata sejak 2012 sehingga tahun lepas sebanyak 105,691 orang dengan jumlah tertinggi direkodkan pada tahun lepas iaitu 124,039 orang.

Katanya, kadar purata pesakit luar di Hospital Segamat merekodkan kenaikan purata tujuh peratus setiap tahun.

"Kerajaan sentiasa mengambil maklum akan kepesatan pembangunan dan kemajuan daerah Segamat dan daerah-daerah berhampirannya di utara negeri Johor.

"Bagi memastikan keselesaan pesakit yang mendapatkan perkhidmatan di Hospital Segamat dan di atas sikap prihatin dan bertanggungjawab kerajaan Barisan Nasional, kerja-kerja menaik taraf kemudahan dan infrastruktur Hospital Segamat sentiasa diberi penekanan," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS