Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Benarkah najis babi kena sertu? Ini kata mufti Perlis
Diterbitkan:  Mar 8, 2018 3:20 PM
Dikemaskini: 7:28 AM

Pendapat majoriti ulama lebih kuat dan lebih memudahkan berbanding Mazhab Syafii dalam isu sama ada najis babi perlu disamak dengan tanah, kata Mufti Perlis Datuk Asri Zainul Abidin.

Katanya, Mazhab Syafii mewajibkan kesan babi dibasuh dengan enam kali air biasa dan sekali dengan air tanah kerana mereka menyamakannya dengan anjing ataupun lebih najis daripada anjing.

Bagaimanapun, kata Asri, majoriti ulama berpendapat memadai kesan babi dibasuh tanpa memerlukan tanah sehingga menghilangkan kesannya.

“Ini kerana tiada dalil yang menyatakan khinzir wajib dibasuh sebanyak tujuh kali dan termasuk satu kali air tanah,” katanya.

Asri berkata, kebanyakan ulama berpendirian demikian berasaskan prinsip sesuatu perkara tidak wajib melainkan adanya dalil syarak mewajibkannya.

Malah, kata Asri, terdapat juga tokoh besar Mazhab Syafii seperti Imam al-Nawawi (meninggal 676H) tidak sependapat dengan mazhabnya sendiri.

Asri menulis panjang dalam Facebook beliau ketika menjawab soalan pembaca yang mahu tahu sama ada permaidani, bekas dan pakaian patut dibasuh dengan air tanah jika diimbangi terkena najis babi.

Tidak jelas merujuk kepada mana-mana kes khusus, tetapi persoalan itu timbul selepas kejadian Masjid Sungai Pelong di Sungai Buloh yang dimasuki babi hutan disertu.

Nazir masjid Hussin Rani berkata, kawasan dinding dan lantai disertu manakala permaidani lama masjid dilupuskan dan diganti baru yang menelan belanja RM34,000.

Sementara itu, Asri berkata pendapat majoriti ulama dalam isu itu bukan sahaja lebih kuat, tetapi juga lebih memudahkan urusan umat Islam seperti dalam urusan berkaitan makanan hotel, kapal terbang atau bertandang ke rumah jiran bukan Islam.

“Demikian apabila kita berjalan di tempat awam yang mana bahan khinzir terdedah di mana-mana pada hari ini,” katanya.

Berhubung penggunaan pandangan mazhab lain, Asri berkata dalam negara kita sendiri sudah banyak pendapat mazhab lain diguna pakai apabila ada hujah yang kuat atau atas alasan tertentu.

Sebagai contoh, katanya, dalam urusan zakat dan keharusan mendengar muzik yang diharamkan dalam Mazhab Syafii.

“Maka, memakai pendapat selain Mazhab al-Syafie bukanlah sesuatu yang baru apatah lagi untuk dinilai sebagai salah,” katanya.

Asri berkata, dalam kes-kes yang menyebabkan kesukaran, ataupun kerugian harta ataupun tidak dapat menunaikan kemaslahatan semasa, pandangan pelbagai mazhab sangat membantu umat Islam keluar daripada kesukaran.

“Keluar mazhab tertentu bukanlah bererti menolak fatwa ulama kerana pendapat yang akan dipegang sebagai ganti juga merupakan pendapat ulama yang mempunyai penilaian dan hujah mereka,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS