Tiada kaitan dengan 1MDB - itu penegasan diberi Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah ketika ditanya mengenai kapal persiaran mewah yang menjadi sebutan ramai sekarang, Equanimity.
Menjawab soalan pengerusi 1MDB itu juga memberitahu kapal berkenaan bukan dimiliki syarikat pelaburan milik kerajaan Malaysia berkenaan.
"Ia tiada kaitan dengan 1MDB, ia bukan kepunyaan 1MDB," kata Irwan yang juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia kepada Malaysiakini.
Beliau ditemui sempea sambutan Hari Wanita Antarabangsa di Cyberjaya hari ini.
Equanimity ditahan - dan disita kemudiannya - oleh pihak berkuasa Indonesia yang bekerjasama dengan penyiasat Biro Siasatan Persekutuan (FBI) pada 28 Feb lalu.
Kapal berkenaan ketika itu berlabuh di Teluk Benoa, Bali.
Ia menjadi perhatian kerana dikaitkan dengan ahli perniagaan muda dan kontroversi, Jho Low, dan sekali gus memalit sama nama 1MDB.
Bagaimanapun Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak memberitahu tiada bukti menunjukkan Equanimity adalah milik Jho Low.
Buat bayaran penyelesaian
Jho Low bagaimanapun mengeluarkan kenyataan menganggap tindakan berkenaan sebagai keterlaluan.
"Amat mengecewakan apabila DOJ (Jabatan Kehakiman AS) meneruskan langkah keterlaluan di peringkat global ini berbanding melihat kembali dakwaan yang bermotifkan politik dan penuh kelemahan.
"(Langkah DOJ) berdasarkan dakwaan salah laku yang tidak disokong (dengan bukti)," kata Jho Low menerusi jurucakapnya dan dipetik New Straits Times.
Equanimity yang dianggarkan bernilai AS$250 juta (RM987 juta) merupakan antara aset yang diburu DOJ kerana didakwa diperolehi menggunakan dana yang disalah guna daripada 1MDB.
Baca IGP: Jho Low tiada kaitan dengan 1MDB
Irwan turut ditanya berhubung bayaran penyelesaian dibuat syarikat penerbit filem Red Granite Pictures (Red Granite) kepada DOJ yang dilaporkan dibuat sebagai penyelesaian untuk aset dituntut pihak berkuasa terbait.
Tidak menjawab soalan yang ditanya, Irwan sebaliknya berlalu pergi.
Red Granite adalah syarikat yang menerbitkan filem seperti The Wolf Of Wall Street lakonan aktor kelas A Hollywood, Leonardo DiCaprio.
Melalui dokumen penyelesaian berkenaan Red Granite membayar AS$60 juta (RM234 juta) kepada kerajaan AS untuk aset yang ingin dirampas DOJ melalui saman pelucutan hak sivil kerana didapati menggunakan dana 1MDB.
Mengikut penyelesaian itu juga Ketua Pegawai Eksekutif Red Granite Riza Aziz - anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - akan hanya menerima gaji terhad untuk menampung insurans kesihatannya sehingga jumlah penyelesaian dibayar sepenuhnya.