Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah gugur beberapa dakwaan terhadap 'Dr Ganja'
Diterbitkan:  Mar 7, 2018 5:29 PM
Dikemaskini: 9:52 AM

Mahkamah hari ini menggugurkan dakwaan berkaitan penanaman dan pemilikan dadah jenis kanabis terhadap pesara tentera Amiruddin @ Nadarajan Abdullah atau lebih dikenali sebagai 'Dr Ganja'.

Namun dia masih berhadapan dakwaan mengedar dadah itu yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Peguam Nur Hannan Ishak berkata, hakim Mahkamah Sesyen Klang Emelia Kaswati mengarahkan beberapa dakwaan untuk digugur/dibebas tanpa dilepaskan (DNAA) untuk beberapa tuduhan atas sebab Jabatan Kimia gagal menyiapkan laporan untuk perbicaraan.

"Hari ini mahkamah memutuskan untuk menggugurkan dakwaan penanaman kanabis dan juga pemilikan kanabis lebih daripada 50gram.

"Kebanyakan dakwaan telah (digugurkan), kecuali dakwaan yang membawa hukuman mati," katanya kepada pemberita hari ini.

Amiruddin, 58, pada mulanya didakwa dengan 36 pertuduhan dan tidak dibenarkan untuk diikat jamin.

Peguam Samantha Chong pula memberitahu Malaysiakini anak guam mereka kini berdepan dakwaan mengedar dadah bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan perbicaraan dibawa ke Mahkamah Tinggi.

"Kapten (Amiruddin) mengalirkan air mata ketika mendengar keputusan itu," katanya sambil memaklumkan anak guamnya itu menghidap kanser dan hanya satu buah pinggangnya yang berfungsi.

"Walaupun mahkamah (sesyen) menggugurkan dakwaan hari ini, perjalanan masih panjang dan kita akan teruskannya (di mahkamah tinggi)," katanya.

Pada Januari lalu, sekumpulan 20 orang yang menggelarkan diri sebagai "pesakit" Amiruddin berhimpun di Mahkamah Sesyen Klang ketika sebutan kes sebagai tanda solidariti.

Amiruddin didakwa pada Jun lalu selepas polis dilaporkan menemui kira-kira 97.995kg kanabis di rumahnya di Kampung Delek Dalam, Klang.

Ketika itu, polis turut dilaporkan merampas pelbagai barang berkaitan ganja yang dikatakan digunakan untuk tujuan perubatan dan dipromosi secara atas talian.
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS