Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd boleh mendapatkan semula A$320,000 (RM970,000) miliknya yang dibeku oleh pihak berkuasa Australia tanpa menanggung kos perundangan yang besar, kata seorang bekas editor hari ini.
Wartawan penyiasat veteran yang juga kolumnis Malaysiakini, R Nadeswaran berkata ini kerana sistem undang-undang Australia membenarkan kaedah “no win, no fees”.
"Wan Ahmad boleh membuat persetujuan dengan mana-mana peguam Australia untuk mengendalikan kesnya.
"Beliau tidak perlu menghabiskan banyak wang kecuali untuk perjalanannya untuk berdepan dengan inkuiri," kata Nadeswaran kepada Malaysiakini.
Nadeswaran (gambar) berkata beliau secara peribadi telah menghubungi bekas rakan sekolahnya, kini seorang peguam di Melbourne, yang bersetuju untuk membantu pegawai kanan polis Malaysia itu mendapatkan semula hampir RM1 juta yang dibekukan oleh pihak berkuasa Australia kerana disyaki mempunyai wang yang dicuci atau hasil daripada kegiatan jenayah.
Tawaran Nades (gambar) itu dibuat berikutan Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun dilaporkan berkata semalam bahawa proses itu memerlukan belanja yang besar.
Pada 2 Mac lalu, akhbar Australia Sydney Morning Herald melaporkan pembekuan akaun Wan Ahmad dengan jumlah lebih A$320,000 (RM971,800) kerana disyaki mempunyai wang yang dicuci atau hasil daripada kegiatan jenayah.
Namun Fuzi dalam kenyataan pada hari sama berkata isu tersebut timbul pada 2016 dan Wan Najmuddin telah mengemukakan bukti dokumen ketika inkuiri dalaman PDRM yang menunjukkan sumber wang itu sah
Fuzi menjelaskan wang tersebut daripada penjualan rumah di Shah Alam dan untuk menanggung pembelajaran anak Wan Ahmad di negara itu.