Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Air Kelantan perjelas dakwaan beri tender sebelum syarikat wujud

Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menafikan dakwaan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Husam Musa berhubung kelulusan projek Skim Bekalan Air Merbau Condong Fasa 11 (Pakej 1) kepada syarikat yang tidak wujud.

Pengerusi Lembaga Pengarah AKSB Datuk Hanifa Ahmad sebaliknya berkata syarikat terbabit hanya “menukar nama”.

Hanifa menjelaskan, AKSB melantik Cdah Construction Sdn Bhd dan Jangka Prestasi Sdn Bhd yang bekerjasama (JV) selepas syarikat itu lulus kesemua peringkat penilaian jawatankuasa tender.

"Cdah Construction Sdn Bhd JV Jangka Prestasi Sdn Bhd kemudiannya memohon menukar nama kepada Cdah Construction Jangka Prestasi JV Sdn Bhd dan AKSB meluluskannya.

"Syarikat, pemilikan dan pengurusan syarikat masih pihak yang sama, cuma tukar nama," jelasnya yang juga pengerusi ahli lembaga pengarah AKSB.

Sebagai rekod, kelulusan tender tersebut bagi projek “mereka bentuk, membina, menyiapkan, menguji lari, mentauliahkan kerja-kerja mekanikal dan elektrikal (reka dan bina)” di Machang.

Semalam, Husam yang juga naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) meminta penjelasan kerajaan negeri berhubung pemberian tender projek RM27.1 juta itu.

Kata Husam, surat tawaran tender projek diberikan kepada Cdah Construction Jangka Prestasi JV pada 22 Januari 2015 sedangkan ketika itu syarikat berkenaan masih belum didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).


Baca Tulis dan tular, masalah air selesai


Cdah Construction Jangka Prestasi JV hanya didaftarkan pada 9 Mac 2015.

"Tarikh pelantikan pada 22 Januari 2015 itu bermakna, dua bulan kemudian baru syarikat ini ditubuhkan.

“Jelas di sini surat tawaran dianugerahkan kepada entiti yang belum diwujudkan dan hingga hari ini kerja pembinaan masih berjalan,” katanya.

Husam malah mendakwa perjanjian pembentukan syarikat usaha sama oleh Cdah Construction dan Jangka Prestasi hanya dimatikan setemnya selepas setahun.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Pengurus Besar AKSB Ir Wan Mohd Zamri Wan Ismail mempertahankan tindakan mereka mengeluarkan tender kepada syarikat usaha sama itu kerana syarikat tersebut dalam proses pendaftaran dengan SSM.

"Proses pendaftaran SSM itu agak mengambil masa, manakala isu matikan setem itu saya difahamkan syarikat tersebut memerlukan masa untuk membuat bayaran 0.01 peratus daripada nilai projek kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri," katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas syarikat JV itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS