Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Seorang pemimpin ulama PAS hari ini menegaskan rakaman audio yang didakwa suara Nik Abduh Nik Abdul Aziz sebenarnya bukan milik anggota parlimen Pasir Mas itu.

Menurut Datuk Dr Khairuddin Aman Razali ada ramai yang boleh meniru suara orang lain, termasuk menyerupai Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta bapa Nik Abduh, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Sebab itu dalam Islam, audio tidak menjadi satu inti yang kukuh (untuk dijadikan bukti) kerana ia terdedah untuk ditipu, ditiru dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Khairuddin yang juga bendahari Dewan Ulama Pusat PAS memberitahu Nik Abduh sendiri sudah membuat penafian sebelum ini.

Beliau diminta mengulas mengenai satu rakaman audio yang dikaitkan dengan Nik Abduh.

Petikan itu sekadar sepanjang kurang dari 80 saat dan melibatkan suara didakwa Nik Abduh yang mengaku menerima dana RM2 juta daripada Umno.

Ia juga melibatkan 'pengakuan' bagaimana PAS kononnya menerima bantuan untuk kegunaan pada pilihan raya negeri Sarawak serta gerakan menjatuhkan DAP.

Kini zaman fitnah

Ia mula menjadi tular sejak minggu lalu dan dipercayai bahagian kedua rakaman berkenaan akan didedahkan selepas ini.

Nik Abduh menganggap dakwaan berkenaan adalah suatu fitnah dan mengarut.

"Ia hanya sampah yang tak layak dimakan kecuali pelahap fitnah seperti PAN (Parti Amanah Negara) dan sekutunya. Saya menafikan sekeras-kerasnya," kata Nik Abduh.


Baca 'Dia ingat pahala ikut dia saja'


Nik Abduh turut menggesa pihak yang menyebarkan rakaman itu agar bertaubat jika tidak ingin ditimpa balasan Tuhan ekoran memfitnahnya.

Khairudin yang juga anggota parlimen Kuala Nerus memberitahu ramai orang mempunyai suara semula jadi yang mirip pemimpin PAS.

“Ia telah dinafikan oleh Nik Abduh. Ramai orang bersuara sama macam Tuan Guru Haji Hadi. (Allahyarham) Nik Aziz ramai orang yang boleh bersuara macam suara Nik Aziz.

Bagaimanapun untuk rekod ada pengkritik menegaskan penafian Nik Abduh itu bersifat umum dan beliau bukan menafikan suara itu adalah suaranya.

Khairuddin berkata sekarang adalah zaman fitnah dan PAS sudah lali dengan situasi sebegitu.

Katanya amalan politik fitnah akan merosakkan negara dan PAS tidak akan berbuat demikian demi meraih undi.

“PAS sudah lali dengan unsur-unsur fitnah seumpama ini. Sebab itu PAS berpendirian bahawa negara perlukan perubahan berdasarkan Islam.

“PAS takkan buat fitnah kepada mana-mana parti, itu bukan dasar kami," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS