Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
VK Lingam persoal kesahihan video ‘lantik hakim’

Tan Sri VK Lingam mempersoalkan kesahihan klip video yang dikemukakan sebagai bukti dalam perbicaraan Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam yang mengeluarkan namanya daripada menjalankan amalan guaman atas dakwaan salah laku.

Ini disampaikan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini oleh peguamnya, R Thayalan.

Kesahihan klip video itu dipersoalkan memandangkan rakaman asal tidak dikemukakan semasa perbicaraan lembaga tatatertib dan individu yang merakamkannya, bekas Ahli Parlimen PKR, Loh Gwo Burne, mengakui bahawa CD yang ditawarkan semasa perbicraaan lembaga itu bukanlah miliknya.

"Pembuat CD yang dimuat turun dari laman web Malaysiakini tidak dipanggil, transkrip juga tidak dikemukakan semasa perbicaraan lembaga tatatertib.

"Kami juga menghantar CD itu untuk diuji oleh pakar kami dan mereka mendapati ada fail lain pada CD itu.

"Lembaga itu bergantung pada kandungan klip berkenaan dan kami mengatakan terdapat kemungkinan video itu telah diubah sejak rakaman dikatakan dilakukan pada tahun 2001 dan klip itu hanya muncul pada tahun 2007.

"Oleh itu, rangkaian bukti terputus apabila video tersebut dikemukakan oleh (bekas Presiden Majlis Peguam) Datuk Ambiga Sreenevasan kepada lembaga berkenaan," kata Thayalan.

Peguam itu berhujah demikian dalam permohonan supaya mahkamah menilai keputusan lembaga terhadap anak guamnya.

Lingam memfailkan saman pemula terhadap Badan Peguam Malaysia pada 15 Disember 2015 untuk mencabar keputusan yang dibuat oleh lembaga tatatertibnya pada 6 November lalu.

Dalam usul pemula itu, Lingam memohon mahkamah mengetepikan keputusan Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam dalam mengesahkan keputusan jawatankuasa tatatertib bahawa beliau berkomplot dengan pelbagai pihak untuk campur tangan atau mempengaruhi pelantikan hakim-hakim.

Lingam juga memohon untuk membatalkan keputusan jawatankuasa tatatertib melalui laporan bertarikh 20 Feb 2014 yang memutuskan bahawa beliau didapati bersalah atas pertuduhan mengganggu atau mempengaruhi pelantikan hakim iaitu pelantikan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim sebagai Hakim Besar Malaya dan pengesahannya sebagai Presiden Mahkamah Rayuan ketika itu.

Lingam, antara lain memohon untuk mengetepikan keputusan jawatankuasa itu yang menggantungnya daripada menjalankan amalan sebagai peguam bagi tempoh setahun selain turut didenda RM20,000 atas kesalahan berkenaan.

Pada 20 Mei, 2008, dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengemukakan beberapa syor berhubung rakaman video itu yang didakwa menyentuh pelantikan hakim-hakim oleh Lingam dan bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohd Eusoff Chin serta Ahmad Fairuz.

Dalam laporan itu, panel lima anggota RCI membuat kesimpulan klip video itu adalah tulen, dan Lingam ialah orang yang terlibat dalam perbualan dengan Ahmad Fairuz berkaitan pelantikan hakim-hakim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS