Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kos tuntut kembali wang di Australia terlalu mahal, kata IGP

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd tidak menuntut semula wangnya yang dibekukan di Australia kerana proses itu memerlukan belanja besar, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

"Kalau boleh dia mahu bawa pulang wang miliknya. Kalau tanya dia, mesti dia nak (wangnya kembali. Itu hak dia.

"Cuma dia fikir prosedur untuk dapatkan kembali wang itu memerlukan perbelanjaan besar. Urusan itu di luar negara," katanya (gambar) pada sidang media di Bukit Aman pagi tadi.

Katanya lagi, Wan Ahmad belum membuat sebarang permohonan dengan pihak berkuasa Australia berhubung perkara itu.

Beliau menjawab soalan wartawan sama ada Wan Ahmad akan berusaha membawa pulang wangnya berjumlah lebih A$320,000 (RM971,800) yang kini dibekukan di sana.

Pada 2 Mac lalu, akhbar Australia Sydney Morning Herald melaporkan pembekuan akaun Wan Ahmad dengan jumlah lebih A$320,000 (RM971,800) kerana disyaki mempunyai wang yang dicuci atau hasil daripada kegiatan jenayah.

Namun Fuzi dalam kenyataan pada hari sama berkata isu tersebut timbul pada 2016 dan Wan Najmuddin telah mengemukakan bukti dokumen ketika inkuiri dalaman PDRM yang menunjukkan sumber wang itu sah

Fuzi menjelaskan wang tersebut daripada penjualan rumah di Shah Alam dan untuk menanggung pembelajaran anak Wan Ahmad di negara itu.

Namun, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dilaporkan memulakan siasatan terhadap Wan Ahmad selepas menerima laporan berserta maklumat baru daripada seorang pemberi maklumat semalam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS