Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Penyewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) seluruh negara akan diberi tawaran skim ‘rent-to-own’ (sewa untuk beli) dalam usaha kerajaan memberi pemilikan rumah kepada penyewa dan mewujudkan perasaan ‘self-belonging’ (rasa memiliki) kepada rumah masing-masing.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata skim berkenaan akan ditawarkan hanya kepada penyewa asal.

Menurutnya, oleh kerana didapati ada unit PPR yang disewa dan ada pula sewa atas sewa, langkah pertama yang akan dibuat ialah usaha 'pemutihan' untuk memastikan mereka yang berada di situ adalah penyewa asal.

“Apabila kita buat pemutihan kita akan beri penawaran kepada mereka dengan skim rent-to-own yang mana pihak penyewa ini diberi tawaran memiliki rumah dengan tanpa apa-apa deposit.

"…Sekiranya kita dapati penyewa ini merupakan pembayar sewa yang baik, sewaan yang mereka buat sebelum ini akan diambil kira,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Noh menjawab soalan tambahan Anuar Abd Manap (BN-Sekijang) berhubung mekanisme dalam soal memberi hak milik kepada penyewa PPR.

Terdahulu, Noh berkata sehingga Disember 2017, kerajaan telah membina 84,490 unit rumah PPR yang melibatkan pembangunan 122 projek di seluruh Malaysia.

Katanya bagi PPR disewa, kerajaan menawarkan kadar sewaan RM124 sebulan manakala bagi PPR dimiliki, harga jualan rumah adalah RM35,000 bagi Semenanjung Malaysia dan RM42,000 bagi Sabah dan Sarawak.

Jelasnya, terdapat dua kategori PPR iaitu yang pertama adalah kos pembinaan rumah disediakan kerajaan pusat tetapi hak milik tanah dimiliki kerajaan negeri, manakala yang kedua adalah kos pembinaan dan tanah sepenuhnya milik kerajaan pusat.

“Oleh yang demikian, untuk kos projek PPR hak milik kerajaan pusat, kita akan memberi hak pemilikan kepada penyewa sedia ada.

“Untuk perkara yang melibatkan hak milik tanah kepunyaan kerajaan negeri pula, perkara ini akan dibincangkan dengan kerajaan negeri untuk mencadangkan pemilikan rumah diberi kepada penyewa,” katanya menjawab pertanyaan asal Anuar mengenai perancangan kerajaan untuk memberi status pemilikan kekal melalui jualan unit PPR kepada penyewa. -Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS