Spekulasi bahawa Datuk Warno Dogol, bekas ADUN Sabak akan diturunkan sebagai wakil Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14 akan datang semakin kuat berikutan keputusan bekas pemimpin Umno itu menyertai BERSATU.
Warno, 58 menyertai BERSATU sebagai ahli seumur hidup dan penyertaannya itu diumumkan Ketua Bahagian BERSATU Sabak Bernam, Sallehudin Amiruddin di Pekan Sabak, Sabak Bernam, malam semalam.
Beliau adalah wakil BN pada pilihan raya umum ke-12 lalu.
Sementara itu, portal Sinar Harian Online memetik Warno dalam ucapannya sebagai berkata, beliau menganggap penyertaannya ke dalam parti itu sebagai satu hijrah.
"Saya tidak pernah terfikir untuk saya bersama-sama dengan Pakatan Harapan kerana saya anggap ini merupakan satu hijrah.
"Semoga hijrah yang kita lakukan ini akan dapat membawa satu kejayaan kepada Harapan," katanya yang dipetik portal itu.
"Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada ketua bahagian bersatu Sabak Bernam (Sallehudin) dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah mengizinkan saya menyertai bersatu," katanya.