Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gesaan pecat Nazri: Pemuda Umno Kedah minta MCA tutup mulut
Diterbitkan:  Mar 5, 2018 11:47 AM
Dikemaskini: 3:51 AM

Pemuda Umno Kedah mengecam rakan sejawatannya dari MCA kerana menuntut pemecatan menteri Umno Datuk Seri Nazri Aziz yang menghadiri sebuah majlis Tahun Baru Cina dengan berpakaian hitam.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pemuda Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin membidas sayap pemuda MCA negeri itu yang dilabelkan sebagai keterlaluan dan mahu mereka "tutup mulut" dan memberi tumpuan kepada pilihan raya umum akan datang.

“Bagi Pemuda Kedah tindakan Pemuda MCA itu sudah keterlaluan apabila mereka menuntut Datuk Seri Nazri Aziz dipecat oleh kepimpinan parti. Pemuda Umno Kedah percaya perkara ini tidak seharusnya dilakukan dan ia dianggap terlalu mengikut perasaan dan emosional.

“Kami memahami akan sensitiviti tertentu masyarakat Cina namun yakin ia boleh dilakukan dengan cara dan penyelesaian tertutup dan bukannya terbuka.

“Pemuda Umno Kedah ingin memberi cadangan supaya sebarang ketidakpuasan hati seharusnya disalurkan secara tertutup dengan menjadikan semangat setiakawan Barisan Nasional sebagai pengangan utama,” katanya.

China Press, semalam, melaporkan bahawa Ketua Pemuda MCA Kedah tersinggung dengan tindakan Nazri yang berpakaian hitam pada perayaan Tahun Baru Cina di Sungai Petani.

Pada sidang akhbar selepas perayaan berkenaan, Tan menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memecat Nazri sebagai menteri pelancongan dan kebudayaan kerana "tiada sensitiviti budaya".

Mengulas lanjut, Shaiful Hazizy, menasihatkan MCA supaya tidak meraih populariti dan sokongan murahan daripada engundi Cina.

“Hakikatnya mereka perlu melihat kaedah dan pendekatan yang lain bagi menarik keyakinan pengundi Cina,” katanya.

Sambil melabelkan tindakan Pemuda MCA menaikkan sepanduk “Pecat Nazri” sebagai satu kebiadapan yang tidak boleh diterima, katanya Pemuda Umno tidak pernah bertindak luar batasan sekiranya ada kejadian yang menyinggung masyarakat Melayu.

Protes Pemuda MCA diadakan Sabtu lalu untuk menuntut permohonan maaf dari Nazri atas kenyatannya yang dianggap menghina jutawan Robert Kuok dan MCA.

Daripada melakukan bantahan seumpama itu, Shaiful Hazizy mencadangkan MCA supaya meningkatkan prestasi mereka pada pilihan raya akan datang.

“Kegagalan mereka yang hanya berjaya menang di dua kerusi DUN dan pada masa yang sama kempunan meraih sebarang kerusi Parlimen di negeri Kedah tidak melayakkan mereka sama sekali menuntut Nazri meletakkan jawatan.

“Nasihat Pemuda Kedah, Pemuda MCA perlu beri komitmen tidak berbelah bahagi untuk memantapkan lagi jentera parti. Pemuda Umno Kedah mohon agar Pemuda MCA diam dan buat kerja dan tidak jadi kebudak-budakan,” katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS