Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Dia ingat pahala ikut dia saja'
Diterbitkan:  Mar 5, 2018 9:24 AM
Dikemaskini: 1:49 AM

Kenyataan Husam Musa bahawa haram mengundi PAS pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 sudah dijangka bakal mengundang kecaman pemimpin parti itu.

Namun berbanding nada tegas dan amarah, salah seorang pemimpinnya Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyatakan rasa tidak setujunya dengan nada sindiran.

Walaupun tidak merujuk sebarang nama secara khusus, ia jelas dihalakan kepada bekas naib presiden PAS itu atas kenyataan yang dibuatnya dalam satu ceramah 3 Mac lalu.

Nik Abduh berkata sekian lama berada dalam PAS Husam tidak pernah menyatakan perkara sedemikian malah penuh yakin mendapat pahala atas perjuangannya.

"Bila dia keluar PAS, dia kata berdosa pangkah PAS.

"Dia ingat pahala ini ikut dia ke mana saja dia pergi. Kesianlah juga kepada orang lain," kata Anggota Parlimen Pasir Mas itu di Facebook, semalam.

Husam berkata demikian ketika membangkitkan kepentingan PRU ke-14 di tengah-tengah pelbagai dakwaan seperti isu 1MDB dan rampasan kapal layar mewah Equanimity milik Jho Low - individu utama dalam kontroversi itu, dalam ceramah 3 Mac lalu.

"PAS kata tak pangkah PAS haram sebab akan jatuh kerajaan Islam. Ambo (saya) pula kata, kalau mengundi PAS yang menongkat (bantu) Umno yang habiskan duit rakyat, haram.

"...Haram undi bulan. Ini ambo nak pegang. Nak tahu yang mana betul, kita berdebatlah," kata Husam yang kini Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH).

Dosa dan pahala sering dibangkitkan dalam soal mengundi PAS dalam pilihan raya.

Namun Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebelum ini mengatakan soal itu berkaitan ijtihad politik masing-masing dan menyarankan pengundi agar memilih parti yang "paling kurang membawa mudarat" pada PRU kali ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS