Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Chong puji MCA Pdg Rengas kerana boikot Nazri
Diterbitkan:  Mar 2, 2018 6:31 PM
Dikemaskini: 10:45 AM

MCA Padang Rengas melakukan perkara yang betul dengan memutuskan hubungan dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, yang juga ahli parlimen Padang Rengas, kata Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon.

Chong memberitahu sebuah majlis di Petaling Jaya hari ini bahawa MCA tidak akan mengaitkan dirinya dengan Nazri kerana tabiatnya yang sering menyerang parti itu dan terlalu akrab dengan DAP.

"Baik juga dia kata kita bukan kawannya, di internet ada gambar dia dan ‘kawannya’. Semua orang tahu hal ini.

"Internet penuh dengan gambar kedua-dua mereka seperti adik beradik," kata Chong yang dipetik akhbar Kwong Wah.

Beliau merujuk tindakan setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng dan Nazri yang sering kelihatan berdakapan secara terbuka.

Melabelkan kedua-dua mereka sebagai rakan akrab, Chong berkata beliau tidak pernah melihat Nazri mendakap pemimpin MCA dan tidak akan ada pemimpin MCA yang sanggup melakukan sedemikian dengan "individu seperti itu".

Beliau mengulas kenyataan Nazri yang mendakwa bahawa MCA Padang Rengas memulaukanya semasa pilihan raya umum lalu dan oleh itu tidak menganggap MCA sebagai rakan sekutunya.

Menteri itu juga berkata, beliau tidak memahami mengapa MCA mahu terbabit dengan bidasannya terhadap jutawan, Robert Kuok.

Sementara itu, Chong juga menggesa DAP menjelaskan pendirian mereka untuk berdiam diri apabila masyarakat Cina diserang oleh Nazri tetapi sebaliknya menyerang MCA.

"Kami mempertahankan (Kuok) berdasarkan kedudukan moral, sebaliknya DAP bersekongkol dengan Nazri untuk menyerang kami (MCA)," kata Chong.

Sebelum ini, Chong mengibaratkan bidasan terhadap Kuok sebagai kritikan terhadap masyarakat Cina secara keseluruhan.

Nazri menjadi tumpuan apabila para pemimpin Umno berlumba-lumba mengasak lelaki paling kaya di negara ini apabila sebuah artikel dalam blog Malaysia Today mendakwa kononnya Kuok menaja parti DAP dan membiayai portal The Malaysian Insight.

Walaupun kebanyakan pemimpin Umno membidas Kuok sebagai "tidak bersyukur", Nazri terus melabel Kuok sebagai 'pondan' dan 'ayam betina' kerana berselindung di Hong Kong.

Susulan campurtangan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang secara peribadi memberitahu perdana menteri rasa tidak puas hati masyarakat Cina berhubung serangan terhadap Kuok, Datuk Seri Najib Razak 'menyambut baik' kenyataan jutawan itu bahawa beliau menghargai setiap peluang yang diberi kepadanya.

Bagaimanapun, ini tidak menamatkan kecaman oleh pemimpin MCA berhubung keengganan Nazri menarik balik kata-katapenghinaan yang dilemparkan terhadap Kuok.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS