Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Akhbar: Australia beku RM1 juta akaun pengarah Bukit Aman
Diterbitkan:  Mar 2, 2018 5:26 PM
Dikemaskini: 10:57 AM

Pihak berkuasa Australia dilaporkan membekukan akaun bank milik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd di sana, yang mempunyai wang berjumlah lebih A$320,000 (RM971,800).

Menurut akhbar Sydney Morning Herald, Polis Persekutuan Australia (AFP) mendakwa wang yang disalurkan ke dalam akaun tersebut disyaki wang yang dicuci atau hasil daripada kegiatan jenayah.

AFP memfailkan permohonan untuk beku dan rampas dengan Mahkamah Agung New South Wales, yang memberikan arahan merampas tahun lalu.

Akaun "Goal Saver" Najmuddin di Bank Commonwealth yang dibuka menggunakan namanya pada 2011 mula menerima wang seminggu selepas beliau ke Australia pada September 2016.

Pendeposit yang tidak dikenali pergi ke beberapa bank di lima negeri di Australia untuk memasukkan wang tersebut ke dalam akaunnya.

Menurut laporan itu, jumlah dalam akaun itu meningkat hampir A$290,000 (RM880,700) dalam masa sebulan, kebanyakannya melalui deposit berkala tidak melebihi A$10,000 (RM30,368).

Jika deposit melebihi kadar itu, agensi penguatkuasaan undang-undang Australia akan menerima pemberitahuan mandatori.

Najmuddin tidak menuntut kembali wang tersebut atas sebab tindakan mahkamah akan memakan kos terlalu tinggi.

Beliau bagaimanapun menafikan sebarang salah laku.

AFP membuat rampasan disebabkan deposit secara berkala. Permohonan mahkamahnya tidak menyatakan sama ada Najmuddin terlibat dalam apa-apa kesalahan.

Ketika dihubungi Fairfax Media, Najmuddin berkata, "Saya sudah berikan penjelasan. Jabatan saya menulis surat kepad AFP".

Beliau berkata telah meminta kawan rapat di Malaysia untuk memasukkan wang tersebut bagi membiayai pengajian sarjana anak perempuannya.

Laporan itu juga memetik jurucakap AFP sebagai berkata, polis Malaysia telah menjalankan siasatan dalaman selepas mendapat makluman AFP dan membersihkan Wan Ahmad daripada sebarang kesalahan.

'Untuk pengajian penerbangan'

Sejak 2001, Najmuddin telah melawat Australia sebanyak sembilan kali. Dalam tiga lawatan antara 2011 dan 2012, beliau mengisytiharkan A$112,000 kepada kastam negara itu.

Pada Disember 2012, sehari selepas tiba di Australia, sejumlah A$30,000 (RM91,106) dimasukkan ke akaun tersebut melalui beberapa cawangan bank di Sydney, dan A$8,000 (RM24,294) dikeluarkan di cawangan Haymarket.

Laporan itu juga memetik Ketua Penolong Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Allaudeen Abdul Majid sebagai berkata wang tunai dibawa ke Australia dan akaun bank tersebut bagi membayar pengajian penerbangan anak lelaki Najmuddin.

Akaun itu kemudian menjadi tidak aktif sehinggalah peningkatan deposit secara mendadak berikutan lawatan Najmuddin pada 2016.

Allaudeen dipetik berkata polis Malaysia telah menjalankan siasatan penuh dan mendapati wang itu diperolehi melalui penjualan rumah.

"Tanpa pengetahuannya, wang tersebut dimasukkan tanpa mematuhi undang-undang Australia. Ia berlaku atas kesilapan dan tanpa niat jahat untuk melanggar mana-mana undang-undang termasuk di Australia," katanya.

Cerita lama

Najmuddin yang dihubungi FMT enggan mengulas perkara itu dan berkata PDRM telah melakukan siasatan.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim pula menyifatkannya sebagai "cerita lama".

“Ini ialah cerita lama dan saya difahamkan kami sudah menjalankan siasatan dalaman. Tiada salah laku ditemui. Ia disiasat dua tahun lalu," katanya seperti dipetik FMT.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan laporan SMH secara bebas. Kami telah cuba menghubungi Wan Ahmad dan Fuzi untuk mendapatkan ulasan mereka.

[Baca berita penuh]
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS