Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hukuman kekal tapi Tian Chua layak tanding PRU14

Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini mengekalkan sabitan bersalah terhadap Ahli Parlimen Batu, Tian Chua atas tuduhan menghina kehormatan seorang anggota polis.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Karim Abdul Rahman, yang menolak rayuan Chua terhadap sabitannya di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, bagaimanapun, mengurangkan jumlah denda RM3,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Mac lalu.

"Saya dapati denda RM3,000 itu bukan hukuman yang sesuai (jadi) saya kurangkan kepada RM2,000, jika gagal bayar penjara dua bulan.

"Justeru, rayuan (balas) oleh pendakwa untuk meningkatkan hukuman ditolak," kata Abdul Karim.

Ketika ditemui pemberita kemudian, Chua atau nama sebenarnya, Chua Tian Chang, 54 berkata hukuman yang dikurangkan itu akan membolehkan dirinya bertanding pada pilihan raya umum ke-14 yang akan datang.

"Saya lega dengan keputusan mahkamah. Saya tidak dilucutkan kelayakan untuk bertanding kerana keputusan ini tidak menjejaskan kelayakan saya," kata Chua yang diiringi oleh presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Mac tahun lalu mendapati Chua bersalah kerana menyebut perkataan mengaibkan kepada pegawai polis Petaling Jaya, DSP Glenn A Sinappah.

Chua didakwa melakukan kesalahan itu di pintu utama lobi Hotel Armada, Petaling Jaya, pada 7.45 malam 14 April 2014 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Anggota Parlimen Batu itu diwakili peguam N Surendran dan Eric Paulsen sementara Timbalan Pendakwa Raya Nurul Huda Mohd Nor hadir bagi pihak responden.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS