Menteri Multimedia dan Komunikasi Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata tiada bukti yang menunjukkan ahli perniagaan Low Taek Jho adalah pemilik kepada kapal layar mewah Equanimity yang dirampas di Bali semalam.
Maka laporan rampasan kapal itu yang mengaitkannya dengan Low adalah "berita palsu", katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata pembangkang bergantung kepada dakwaan "yang tidak disahkan dan dibuktikan" bahawa ia adalah milik Low - lebih dikenali sebagai Jho Low - dan dibeli menggunakan wang 1MDB.
"Hakikatnya, sumber dakwaan tersebut terkandung dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) yang sudah dihentikan buat sementara sejak Ogos lalu.
"Selain dakwaan yang terkandung dalam saman itu, DOJ tidak menunjukkan sebarang bukti bahawa Jho Low adalah pemilik sebenarnya, atau ia dibeli daripada wang daripada 1MDB.
"Malah DOJ belum membuktikan mana-mana dakwaannya di mahkamah, walaupun sudah dua tahun berlalu sejak sidang media sensasinya pada Julai 2016," katanya lagi.
Semalam, kapal layar bernama Equanimity itu ditahan penguatkuasa Indonesia dengan kerjasama Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) di Bali.
Polis Indonesia mengesyaki ia berlayar ke Indonesia untuk bersembunyi daripada pihak berkuasa AS.
Salleh yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno mendakwa pembangkang yang diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan "didominasi" DAP menggunakan 'berita palsu' dan dakwaan kitar semula sebagai senjata utama meraih undi.
"Sedih melihat Mahathir dan pembangkang kini hanya mengitar semula dakwaan yang tidak dibuktikan dan dengan tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu," katanya lagi.