Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis Indonesia: Kapal Jho Low mahu lari dari pihak berkuasa AS
Diterbitkan:  Mar 1, 2018 5:56 PM
Dikemaskini: 10:06 AM

Polis Indonesia mengesyaki kapal layar mewah milik ahli perniagaan Low Taek Jho, individu utama dalam skandal 1MDB, berlayar ke Indonesia untuk bersembunyi daripada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).

“Kapal layar Equanimity itu sedang berlayar ke wilayah perairan Indonesia. Kapal itu disyaki cuba mengelak atau bersembunyi dari pihak berkuasa Amerika yang mempunyai kuasa merampas kapal itu,” kata jurucakap polis Jakarta M Iqbal seperti dipetik media Indonesia Detik News, hari ini.

Iqbal berkata kapten kapal itu sengaja mematikan sistem pengecaman automatik (automated identification system) bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Selama berlayar, Kapten (bernama) Rolf telah mematikan AIS beberapa kali, sehingga kapal tersebut tidak boleh dikesan di sekitar perairan Filipina dan perairan sebelah tenggara Singapura.

"Kerajaan Amerika telah menerbitkan waran rampasan dan artikel atas talian berkenaan usaha menyita kapal itu," katanya seperti dipetik.

Polis Indonesia dilaporkan telah mengambil keterangan dan melihat dokumen perjalanan kesemua 34 anak kapal termasuk Rolf, selain menyita dokumen yang ada dalam kapal itu.

Kapal yang didaftarkan di Kepulauan Cayman dilaporkan telah dibina khas untuk ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low pada tahun 2014 pada harga AS$250 juta (kira-kira RM1 bilion).

Jabatan Kehakiman AS (DOJ) mahu merampas kapal itu sebagai sebahagian daripada pelucuthakan aset yang didakwa diperolehi menggunakan dana yang disalah guna daripada 1MDB.

Jho Low melalui jurucakapnya semalam menyifatkan DOJ bertindak keterlaluan kerana meneruskan pelucuthakan aset dan berkata dakwaan yang dibuat badan itu lemah dan bermotif politik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS