Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Umno melanggar perlembagaannya sendiri apabila sekali lagi menangguhkan pemilihan parti.
Bekas timbalan presiden Umno itu berkata penangguhan terbaru itu melanggar klausa 10.16 perlembagaan parti itu.
Klausa itu menyatakan Majlis Tertinggi (MT) boleh menangguhkan pemilihan peringkat MT, Bahagian dan Cawangan tetapi tidak boleh melebihi 18 bulan daripada tarikh pemilihan sepatutnya diadakan.
Muhyiddin mempersoalkan kenyataan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa keputusan parti untuk menangguhkan pemilihan ke 19 April 2019 telah mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
"Apakah ROS ada kuasa untuk mengizinkan tempoh (pemilihan) dilanjutkan setahun lagi?
"Setahu saya walaupun ROS bertanggungjawab menguruskan pertubuhan, ia tidak boleh melangkau perlembagaan parti. Jika (perlembagaan) parti kata 18 bulan (untuk pemilihan diadakan), ROS tidak boleh tambah (tempoh)," katanya pada sidang media di ibu pejabat BERSATU di Petaling Jaya, hari ini.
Beliau mendesak ROS memberi penjelasan kepada perkara itu yang menurutnya melanggar undang-undang dan Perlembagaan Umno.
"Betulkah setiausaha agung kata telah dapat kebenaran ROS? Betulkah ROS benarkan (penangguhan)?" soalnya.
Pada 27 Februari lalu, Tengku Adnan berkata Umno akan menangguhkan pemilihan parti selewat-lewatnya pada 19 April 2019, antaranya atas sebab keadaan semasa politik parti dan negara.
Ia penangguhan kedua selepas pengumuman Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak pada 26 Jun 2015 lalu berkenaan pemilihan - yang sepatutnya diadakan pada Oktober 2016 - ditangguh selama 18 bulan.
Layanan berbeza
Jika mengikut penangguhan pertama, Umno perlu mengadakan pemilihan partinya pada 19 April ini.
Muhyiddin yang kini presiden BERSATU menggesa ROS tidak bersikap dwistandard terhadap parti pembangkang, merujuk kepada partinya yang sebelum ini berdepan masalah dengan jabatan itu.
"Jika ROS bersikap adil, maka mereka perlu berikan jawapan yang sama iaitu Umno hendaklah mengadakan pemilihan parti mengikut tempoh yang ditetapkan perlembagaannya.
"Mereka perlu bersikap adil dan berhenti mengugut untuk membatalkan pendaftaran BERSATU," katanya lagi.
ROS sebelum ini berkata BERSATU berdepan risiko dibatalkan pendaftarannya jika tidak melaksanakan mesyuarat agung tahunannya, yang akhirnya dilakukan pada Disember lalu.
Namun selepas itu ROS berkata menerima lebih 400 aduan daripada anggota BERSATU berkaitan AGM tersebut dan sedang menyiasatnya.