Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pusat Permata Kurnia di Melaka mula dibina bulan ini
Diterbitkan:  Mar 1, 2018 3:11 PM
Dikemaskini: 7:17 AM

Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) hari ini menandatangani perjanjian pajakan bagi pembangunan Projek Pembangunan Pusat Permata Kurnia Zon Selatan di Melaka.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor di Seri Perdana di Putrajaya hari ini. Turut menyaksikan majlis perjanjian berkenaan ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Datuk Dr Salehuddin Ishak dan Timbalan Pegerusi MAIM Datuk Wira Yaakub Md Amin.

Rosmah dalam ucapannya berkata penubuhan pusat Permata Kurnia di Melaka memberi peluang kepada anak-anak autisme dari Melaka, Negeri Sembilan dan Johor untuk mengakses perkhidmatan intervensi awal dan pendidikan kanak-kanak autisme.

Beliau berkata pusat Permata Kurnia Melaka dijangka memulakan pembinaan pada bulan ini dan dijangka siap pada akhir tahun ini.

“Dengan mengambil kira keluasan pusat tersebut, ia dijangka boleh menampung 150 kanak-kanak autisme bagi program prasekolah dan intervensi awal,” katanya.

Rosmah berkata memandangkan kemasukan ke pusat Permata Kurnia adalah melalui rujukan dari hospital, Permata telah mengadakan perbincangan dengan beberapa hospital kerajaan di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Beliau berkata Permata memperoleh kelulusan sebanyak 22 perjawatan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam bagi tenaga pengajar yang diperlukan.

Pegawai intervensi yang dilantik akan mengikuti Kursus Diploma Lanjutan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Autisme) selama sembilan bulan dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Malaysia, katanya.

Rosmah menjelaskan bahawa Permata Kurnia merupakan satu daripada lapan program Permata. Terdapat tiga program utama yang dilaksanakan di Pusat Permata Kurnia meliputi perkhidmatan intervensi awal dan sokongan keluarga, program prasekolah khas dan program pendidikan komuniti.

Katanya Pusat Permata Kurnia di Sentul Kuala Lumpur mula beroperasi pada Disember 2015. Sehingga kini 877 orang kanak-kanak autisme telah mendapat perkhidmatan intervensi dan pendidikan di pusat itu.

Daripada 877 kanak-kanak seramai 81 kanak-kanak berjaya meneruskan pendidikan ke tahun satu dan tadika aliran perdana.

Rosmah berkata perluasan pusat Permata Kurnia adalah atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa mempengerusikan mesyuarat majlis pelaksanaan program Permata pada Ogos 2016.

Menurutnya, World Health Organisation menganggarkan kadar prevalens autisme sesebuah negara ialah satu peratus daripada jumlah penduduknya.

"Jika anggaran ini diaplikasikan kepada Malaysia yang mempunyai 31 juta penduduk boleh dianggarkan terdapat 310,000 individu yang mengalami autisme di negara ini," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS