Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Akhbar Cina: Mesyuarat kabinet tegang susulan isu Robert Kuok
Diterbitkan:  Mar 1, 2018 12:23 PM
Dikemaskini: 4:29 AM

Mesyuarat mingguan jemaah menteri semalam dilaporkan tegang dengan pertikaman lidah antara menteri-menteri Umno seperti Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dan rakan-rakan mereka dari MCA dan Gerakan, menurut laporan beberapa akhbar Cina.

Ini susulan serangan baru-baru ini terhadap jutawan berpangkalan di Hong Kong, Robert Kuok yang didakwa menaja parti DAP.

Menurut China Press, tiga menteri MCA - presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, timbalan presiden Datuk Seri Wee Ka Siong dan setiausaha agung Datuk Seri Ong Ka Chuan - serta presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong - meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap Nazri, yang mencabar Kuok untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang dan menghina jutawan berusia 94 tahun itu.

Apabila kedua-dua enggan mengalah, laporan itu mengatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terpaksa campur tangan untuk menenangkan keadaan.

Sementara itu, Nanyang Siang Pau memetik Wee (foto, atas) sebagai berakata bahawa menteri-menteri MCA menuntut agar Nazri memohon maaf berhubung kemelut yang berlaku itu.

Wee, yang menyifatkan mesyuarat semalam sebagai tegang, dan berkata bahawa kabinet juga mengarahkan semua pihak supaya berhenti menjadikan Kuok sebagai sasaran.

Jutawan itu sebelum ini juga telah menafikan beliau menaja DAP dan membiayai portal The Malaysian Insight.

Walau bagaimanapun, akhbar-akhbar itu tidak menyebutkan jika Nazri, yang adalah menteri pelancongan dan kebudayaan, ada memohon maaf semasa mesyuarat itu.

Liow (foto, bawah), ketika mengulas soalan dari akhbar Sin Chew Daily mengenai sama ada kabinet mengarahkan Nazri memohon maaf, berkata: "Ini adalah sesuatu yang kamu perlu tanya Nazri sendiri."

Presiden MCA itu turut mendedahkan bahawa kabinet mengakui sumbangan Kuok kepada negara.

"PM merakamkan rasa hormatnya kepada Kuok semasa mesyuarat itu dan mengiktiraf sumbangannya kepada negara," katanya.

Akhbar Oriental Daily pula memetik Nazri sebagai berkata bahawa isu itu telah diselesaikan dan hubungannya dengan menteri-menteri MCA tidak terjejas.

Disoal sama ada kabinet mengarahkannya untuk memohon maaf, Nazri pada mulanya mendakwa bahawa mesyuarat tidak membincangkan isu itu, tetapi kemudian menambah bahawa beliau tidak sepatutnya mendedahkan butiran mesyuarat itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS