Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'13 ADUN PAS S'gor belanja RM700,000 dari poket sendiri'

Sembilan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Selangor mendakwa terpaksa mengeluarkan wang sendiri berjumlah RM700,000 untuk program bagi dua bulan terakhir selepas peruntukan mereka didakwa dibekukan kerajaan negeri.

Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi mendakwa langkah Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menafikan peruntukan mereka bertentangan dengan janjinya sendiri untuk mengutamakan kebajikan rakyat.

"Setakat ini kami tidak menerima sebarang peruntukan walaupun diberitahu ia telah diagihkan kepada ADUN lain (daripada parti komponen Pakatan Harapan).

"Bagaimanapun wakil rakyat kami terus menjalankan tugas mereka menggunakan wang sendiri. Program bukan saja diteruskan, malah semakin bertambah," katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.

Sallehen sebelum ini berkata tidak menolak kemungkinan untuk membawa isu itu kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Azmin bagaimanapun menafikan ada sebarang sekatan dan memberitahu mana-mana ADUN yang berdepan masalah peruntukan untuk membuat pertanyaan di pejabat daerah atau berjumpanya sendiri.

Sallehen yang juga ADUN Sabak berkata telah mengenali Azmin sejak tahun 1999 dan memandangnya sebagai seorang yang sentiasa menegakkan keadilan sama seperti partinya PKR.

"Jadi dalam kes ini, kami tertanya ke mana laungan keadilan untuk semua itu?" soalnya.

Sallehen berkata sembilan daripada 13 ADUN PAS negeri itu telah membelanjakan RM693,000 wang sendiri bagi melaksanakan program di kawasan mereka.

Beliau berkata antara yang paling tinggi perbelanjaannya adalah ADUN Chempaka Iskandar Abdul SAmad (RM197,000) diikuti dengan ADUN Gombak Setia Hasbullah Mohd Ridzuan (RM130,000) dan ADUN Selat Kelang Halimah Ali (100,000).

"Saya sendiri perlu mengeluarkan RM40,000 wang sendiri," katanya lagi.

Beliau mengingatkan Azmin bahawa 13 ADUN PAS itu mewakili hampir 500,000 penduduk Selangor dan sekatan peruntukan itu juga bermakna menafikan hak mereka.

"Kami diberitahu secara mulut yang perlu menulis surat rayuan maka hari ini kami memberi maklumbalas juga secara mulut agar Azmin menjelaskan perkara ini.

"Belanjawan negeri sudah pun diluluskan. Menulis surat untuk mendapat peruntukan bukan prosedur yang diamalkan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS