Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'1MDB gulung tikar sebaik selesai hutang'
Diterbitkan:  Feb 27, 2018 10:35 PM
Dikemaskini: 3:00 PM

Syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), akan ditutup sebaik saja semua hutangnya berjaya diselesaikan, lapor media tempatan.

Berita Harian melaporkan Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata beliau yakin syarikat itu mampu membayar segala hutang melalui pelan rasionalisasi sedang dilaksanakan.

Irwan yang juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan, berkata hutang terbabit akan dibayar daripada hasil pendapatan projek mega kerajaan seperti pembinaan bandar Tun Razak Exchange (TRX), menara The Exchange 106 yang tertinggi di Malaysia, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta Transit Aliran Massa Kedua (MRT 2).

"Tidak lama lagi, penghuni yang memiliki tempat di bandar TRX akan membayar sewa dan kita juga akan menjual plot tanah.

"Bandar Malaysia yang akan dibangunkan nanti juga akan menjadi canggih dengan adanya semua pengangkutan awam seperti kereta api laju, ECRL serta MRT," kata beliau.

Irwan berkata wang hasil pembangunan jangka panjang itu akan digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

"...hasil diperoleh bukan membabitkan sehari dua, sebaliknya akan memakan masa lebih 10 tahun untuk menjana pendapatan daripada pembangunan jangka panjang terbabit.

"Sebaik saja habis hutang, tidak perlu lagi wujud 1MDB," kata beliau sebagaimana dipetik Berita Harian.

Mohd Irwan Siregar juga dipetik berkata, 1MDB adalah sama seperti syarikat lain yang ditubuhkan kerajaan untuk menjalankan perniagaan.

"Sudah tentu ada syarikat yang untung dan rugi...apabila rugi kita akan tutup.

"Namun, semua hutang perlu dibayar dulu." katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS