Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Riduan Mohd Nor menzahirkan rasa terkilan kerana Pengerusi PKR Sarawak merangkap ADUN Ba'kelalan, Baru Bian menjadi peguam yang mewakili empat pemohon dalam kes murtad di Mahkamah Persekutuan di Kuching hari ini.
"Sebagai seorang pemimpin politik parti pembangkang di Sarawak, beliau tergamak bekerjasama dengan para penghina Islam demi kepentingan diri sendiri.
"Jelaslah beliau juga terlibat secara langsung dalam usaha merendahkan kedudukan agama Islam.
"Beliau tidak layak menjadi pemimpin kerana telah mencemarkan dan menghina umat Islam di negeri Sarawak," kata Riduan dalam suatu kenyataan media hari ini.
Beliau menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan Kuching yang membatalkan permohonan empat individu warga Sarawak untuk mengisytiharkan diri mereka keluar dari Islam.
"Soal murtad bukan sesuatu yang boleh dibuat main dan dipandang remeh.
"Empat orang pemohon ini telah melakukan suatu jenayah yang besar dalam Islam dan hukuman murtad adalah hukuman yang berat dan keras," katanya.
AJK PAS Pusat itu juga mendakwa kes ini membuka mata siapa sebenarnya yang membela Islam serta menjadi petanda Pakatan Harapan (HARAPAN) membawa kemusnahan terhadap Islam dan negara.
"Saya hairan mengapa tidak ada suara para pemimpin tertinggi Pakatan Harapan menegurnya ketika pemimpin PKR Sarawak ini tidak mempunyai sensitiviti dengan mewakili keempat pemohon terbabit.
"Penglibatan YB Baru Bian dalam kes ini menjadi petanda bahawa PH bukan parti yang membawa harapan, tetapi membawa kemusnahan terhadap agama Islam dan negara.
Kes ini menjadi hikmah agar rakyat membuka mata," katanya lagi.
Nota: Malaysiakini terpaksa membatalkan perkhidmatan komen untuk berita ini memandangkan terdapat pihak yang menyalahgunakannya dengan membuat ugutan kepada pihak lain. Pembaca juga dinasihatkan tidak menjadikannya sebagai platform untuk menghina, memaki atau menimbulkan kebencian dan kemarahan sesetengah pihak. - Pengarang