Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMANAH minta pemimpin PAS jelaskan audio ambil duit Umno

Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan hari ini mahu pemimpin PAS tampil untuk mengesahkan kesahihan satu rakaman audio yang didakwa sebagai 'bukti' penyaluran wang oleh Umno kepada parti itu.

Rakaman itu kemudiannya dimuat naikkan oleh Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan di laman Facebook.

Beliau walau bagaimanapun berkata, sejauh mana kebenaran audio tersebut tidak dapat dipastikan.

Rakaman itu mendakwa parti itu meminta RM2 juta daripada Umno dan ia dibuat dengan pengetahuan seorang pemimpin kanan PAS.

Antara lain, wang berkenaan adalah untuk kegunaan pada pilihan raya negeri Sarawak dan cara untuk menjatuhkan DAP.

Rakaman audio selama seminit 18 saat itu dikatakan mempunyai sambungan yang akan didedahkan kemudian.

Malaysiakini sedang mendapatkan respon daripada pemimpin-pemimpin PAS yang dinamakan itu berhubung dakwaan tersebut.

Bagaimanapun PAS Kelantan melalui Setiausahanya, Datuk Ceh Abdullah Mat Nawi menyifatkan dakwaan itu satu fitnah yang perlu dibuktikan.

"Satu usaha jahat yang tidak berpaksikan kepada politik realiti, tetapi politik fitnah, persepsi atas keyakinan bahawa walaupun perkara tidak benar, tetapi disebut banyak kali, maka akan dipercayai orang.

"Konsep ini Islam tidak terima, konsep yang mana kita saja-saja memburukkan seseorang dengan menyatakan banyak kali supaya dipercayai," katanya di Kota Bharu, hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS