Ketika nama suaminya diumumkan sebagai calon perdana menteri jika Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya mengetepikan BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, air mata Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali menitis tiba-tiba.
Keadaan itu turut menyebabkan ada orang yang menghadiri konvensyen HARAPAN di Shah Alam pada Januari lalu berasa terharu, dengan sesetengahnya membuat pelbagai tafsiran.
Kini Dr Siti Hasmah sendiri menjelaskan mengapa dia menangis.
Katanya dia berasa sedih apabila mendengar pengumuman berkenaan - yang dibacakan Ketua Setiausaha HARAPAN Datuk Saifuddin Abdullah.
Dalam temu bual bersama akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily News, Dr Siti Hasmah berkata kesedihan itu tercetus kerana dia sedar suaminya - Tun Dr Mahathir Mohamad - bukan lagi berusia 56 tahun seperti detik beliau menjadi perdana menteri pada 1981.
"Saya tanya dia - mengapa beliau masih mahu berkorban menjadi calon perdana menteri lagi.
"(Saya bertanya) bolehkah dia melakukannya pada usia sebegini?
"Kata Dr Mahathir, dia sanggup sebab ia menjadi tanggungjawabnya untuk mengembalikan negara kepada era perpaduan, pembangunan dan keamanan.
"Dia rasa dia boleh membawa Malaysia kukuh semula," katanya.
Baca 'Ingatkan polis tanya Jho Low, rupanya Siti Hasmah'
Menurut Siti Hasmah walaupun Dr Mahathir berjaya menjadi perdana menteri ketujuh Malaysia, beliau akan berdepan cabaran getir kerana negara ini bukan lagi seperti hampir empat dekad lalu.
"Dr Mahathir mewarisi Malaysia yang makmur daripada Tun Hussein Onn tetapi Tun Abdullah (Ahmad Badawi) dan Datuk Seri Najib Razak membawa masalah," katanya merujuk kepada dua perdana menteri yang menggantikan suaminya.
Dr Mahathir - bakal berusia 93 tahun kira-kira lima bulan lagi - dilantik menjadi perdana menteri pada pertengahan Julai 1981 selepas pendahulunya, Hussein, berundur daripada jawatan berkenaan.
Di bawah Dr Mahathir Malaysia mencipta pelbagai kejayaan dan pada masa sama turut dikecam pembangkang atas pelbagai isu.
Ada mesyuarat kabinet sendiri
Antara lain pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dikenakan ke atas pengkritik kerajaan, selain cengkaman kuat ke atas pembangkang.
Anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu juga mempopularkan beberapa polisi seperti Bersih, Cekap dan Amanah; Dasar Pandang Ke Timur dan Dasar Penswastaan.
Dr Mahathir kemudian melepaskan jawatannya - selepas 22 tahun - secara rasmi pada 31 Okt 2003.
Perselisihan dengan kerajaan Najib mendorong Dr Mahathir meninggalkan parti yang pernah diterajuinya selama lebih dua dekad dan kini bergabung dengan pembangkang dalam HARAPAN.
Sebagai persediaan menghadapi PRU ke-14 gabungan itu menamakan beliau sebagai calon perdana menteri Malaysia sebelum kembali kepada cadangan asal melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim ke jawatan berkenaan.
Kata Dr Siti Hasmah beliau berharap anggota serta penyokong HARAPAN dapat bekerjasama membantu Dr Mahathir dan bukan bergantung semata-mata kepada suaminya untuk mengotakan janji kepada rakyat.
Baca Siti Hasmah pulang pingat tanda setia pada suami
Mengakui Dr Mahathir masih dalam keadaan sihat, Dr Siti Hasmah berkata suaminya itu didesak untuk beriadah bersama basikal berbanding menunggang kuda sejak bersara dulu.
Dr Siti Hasmah, 92, juga sempat berjenaka mengenai bagaimana suaminya terus aktif dalam politik walaupun selepas bersara.
Beliau juga mengakui terkesan dengan jadual padat untuk menemani suaminya menghadiri pelbagai majlis di seluruh negara.
"Sudah pasti saya penat. Saya terbaring di atas katil dan malas ke mana-mana.
"Saya mengikuti dia ke sana-sini bukan sebab saya pandai dalam politik, tapi kerana mahu menjaga dia, serta menyokong suami saya," katanya.
Dr Siti Hasmah juga mendedahkan, beliau mengadakan "mesyuarat kabinet" sendiri setiap Rabu bagi meneliti jadual Dr Mahathir bagi mengelak suaminya terbeban melampau.