Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kemerosotan kedudukan Malaysia dalam Indeks Tanggapan Rasuah (CPI) terbaru Transparency International Malaysia (TI-M) hari ini mengejutkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata Malaysia sepatutnya berada pada kedudukan lebih baik jika tindakan agresif serta tangkapan dibuat agensi itu diambil kira.

“Bagi saya indeks pada tahun ini - kalau mengikut realiti dalam negara dan tindakan yang dah diambil oleh SPRM itu - maka sepatutnya indeks tersebut adalah berada pada kedudukan yang lebih baiklah berbanding 2016.

“Itu jangkaan saya, tapi saya tak boleh kata (kita berada) di kedudukan mana.

“Sebab itu saya katakan saya agak terkejut dengan laporan yang dikeluarkan kerana ia tak selaras dengan realiti, tindakan, pencegahan dan pendidikan yang agresif yang kita laksanakan pada tahun 2017,” kata Dzulkifli dalam sidang media di Akademi SPRM, Kuala Lumpur hari ini.

Senarai CPI terbaru meletakkan Malaysia di kedudukan setaraf dengan negara komunis Cuba di kedudukan ke-62 berbanding 55 pada 2016.

Kaji kesan CPI

Sesebuah negara dinilai melalui skala dari kosong - sebagai paling kronik rasuahnya - hingga 100 (paling bersih). Sebanyak 180 negara dinilai oleh badan pemantau terbabit.

Mengulas lanjut Dzulkifli berkata SPRM akan meniliti serta menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengenal pasti punca kemerosotan kedudukan Malaysia dalam CPI itu.

“Kita tidak menolak indeks tersebut dan kita akan buat kajian," katanya yang menjelaskan mengetahui status terbaru Malaysia berdasarkan laporan media saja.

Dzulkifli berkata beliau belum meneliti laporan itu sepenuhnya bagi mengenal pasti kelemahan atau punca kedudukan Malaysia semakin merosot.

“Apa-apa yang berkaitan dengan isu-isu rasuah SPRM akan kaji dan lihat jika ia memberi kesan kepada penurunan indeks tersebut,” katanya.

Namun, pada masa sama Dzulkifli menjelaskan kemerosotan kedudukan Malaysia itu bukan hanya melibatkan isu rasuah semata-mata.


Baca Husni akui sangat tertekan urus isu 1MDB


Sebaliknya kata Dzulkifli CPI itu juga melibatkan isu kemanusiaan, senario politik dan perkara berkaitan perniagaan di Malaysia.

Katanya kadang-kadang aspek tertentu itu berada di luar bidang dan tanggunjawab SPRM.

“Jadi penurunan CPI ini bukanlah kerana SPRM semata tetapi perlu dilihat kepada keseluruhan subjek kajian yang telah dijalankan itu,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan yang sama Dzulkifli memaklumkan SPRM kini dalam proses membuat kajian CPI sendiri bagi menilai lebih terperinci prestasi negara.

Katanya kajian itu akan dilakukan oleh badan bebas.

“Kita berasakan sudah tiba masanya untuk diadakan indeks sendiri untuk melihat dan menangani dengan lebih berkesan bukan hanya dari sudut persepsi, tetapi sudut realitinya, objektifnya - apa kelemahan yang perlu diatasi dan kekuatan yang ada serta ruang yang perlu kita tambah baik.

“Kita akan bentangkan kepada kerajaan untuk melihatnya. Namun masa belum ditentukan mungkin dalam dua atau tiga bulan lagi,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS