Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP: Harakah tiru perangai akhbar Umno
Diterbitkan:  Feb 21, 2018 11:50 AM
Dikemaskini: 4:25 AM

ADUN Pasir Pinji Howard Lee membidas akhbar rasmi PAS, Harakah yang menurutnya, kini semakin menyerupai akhbar pro-Umno sejak akhir-akhir ini dengan sering menyiarkan tulisan fitnah terhadap partinya, DAP.

Dalilnya, beliau merujuk tindakan Harakah yang menerbitkan dakwaan seorang individu yang sering dibawa pemimpin Umno dalam ceramah mereka bagi memburuk-burukkan DAP tetapi
segala dakwaan berkenaan masih gagal dibuktikan sehingga harai ini.

“Mereka (Harakah) berspekulasi bahawa kononnya DAP telah ‘dilatih oleh ejen Israel’ untuk menawan Putrajaya.

“Spekulasi itu menggunakan dakwaan yang tidak masuk akal oleh seorang individu yang tidak waras.

“Sampai sekarang tiada satu bukti pun yang dikeluarkan oleh individu bermasalah ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut ketua Pemuda DAP (DAPSY) Perak itu, kerajaan sepatutnya berkhidmat kepada rakyat, tetapi sebaliknya menghabiskan masa dan membazirkan tenaga penjawat awam dan duit pembayar cukai melayan teori konspirasi.

Malah, apa yang lebih menghairankan, kata Lee, PAS kini turut sama meniru ‘taktik dan tipu daya’ Umno - yang menjadi seteru politik sejak sekian lama.

“Mungkin sudah tiba masanya Harakah menukar namanya kepada Majalah Mastika,” katanya merujuk kepada majalah terbitan anak syarikat Utusan Melayu yang memaparkan kisah-kisah masyarakat, termasuk kisah-kisah mistik dan misteri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS